Zopfan di Laut China Selatan bubar?

A
A
A

RAMAI yang terlepas pandang bahawa Julai 2019 ini berkemungkinan besar menandakan sejarah baharu di Laut China Selatan.

Buat pertama kalinya, Pentagon melaporkan bahawa China telah menembak peluru berpandu dalam latihan ketenteraan di dua kawasan berbeza di Laut China Selatan.

Tembakan peluru berpandu yang digelar sebagai ‘pembunuh kapal pengangkut pesawat udara’ itu didakwa dilakukan di utara Kepulauan Paracels dan juga utara Kepulauan Spratly.

Jurucakap Pentagon, Leftenan Kolonel Dave Eastburn mengecam tindakan Beijing dengan menyatakan langkah itu 'bercanggah dakwaan China yang ingin membawa keamanan' sebaliknya memprovokasikan negara-negara lain di rantau ini dengan kekerasan.

Tindakan Beijing juga disifatkan sebagai bertentangan dengan janji Presiden China, Xi Jinping pada September 2015 kepada Presiden Amerika Syarikat (AS) ketika itu iaitu Barack Obama bahawa China tidak akan menjadikan Laut China Selatan sebagai wilayah persaingan ketenteraan.

Kementerian Pertahanan Nasional China mengakui Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) sememangnya ada menjalankan latihan ketenteraan selama lima hari di Pulau Hainan, Laut China Selatan. Namun begitu, mereka menafikan ada melakukan latihan melibatkan peluru berpandu.

Sebaliknya, Profesor James Holmes dalam portal The National Interest melaporkan bahawa China berkemungkinan telah menembak sama ada peluru berpandu anti-kapal DF-21D (Dongfeng 21D) atau DF-26 (Dongfeng 26).

Dr Ian Storey iaitu Felo Senior di ISEAS-Yusof Ishak Institute Singapura pula mengaitkan tindakan China itu sebagai tindak balas kepada latihan bersama antara AS dengan Jepun dua minggu sebelumnya–melibatkan kapal pengangkut pesawat udara milik AS iaitu USS Ronald Reagan berkuasa nuklear dengan kapal pengangkut helikopter Jepun, JS Izumo di Laut China Selatan.

Artikel Berkaitan:

Peluru berpandu DF-26 dianggarkan mampu menjangkau sejauh 4,000 kilometer (km) manakala DF-21D pula mampu menembak sasaran di radius 1,500km.

Kedua-dua peluru berpandu itu digelar sebagai pembunuh kapal pengangkut pesawat udara, maka tidak menghairankan jika ia dilakukan tidak lama selepas AS menghantar kapal induk pesawat udara berkuasa nuklear di Laut China Selatan.

Strategi

Hakikatnya, Laut China Selatan tetap menjadi lokasi pertindihan tuntutan antara China dengan beberapa negara Asia Tenggara yang lebih lemah dari segi ketenteraan.

Maka tidak hairanlah apabila langkah terbaru Beijing itu melengkapi strategi China sebelum ini yang membina pulau buatan di Pulau Spratly serta memindahkan pelbagai kelengkapan dan peralatan ketenteraan di sana.

Seperti mana ‘penguasaan wilayah melalui monopoli kekerasan (kuasa ketenteraan)’ menjadi pilihan sarjana seperti Max Weber dan Carl von Clausewitz dalam mendefinisikan kedaulatan, begitulah tindakan China saat ini yang cuba memonopoli kehadiran kuasa tentera mereka untuk menandakan kedaulatan mereka di Laut China Selatan.

Apa pilihan yang ada bagi negara-negara Asia Tenggara seperti kita? Profesor James Holmes menyebut hanya empat kuasa yang berpotensi untuk membantu negara-negara Asia Tenggara bagi mencabar monopoli kekuatan ketenteraan China di Laut China Selatan iaitu AS, Jepun, Australia dan juga negara-negara Eropah.

Kenyataan itu seolah-olah membenarkan realiti saat ini di mana kesemua kuasa telah menunjukkan komitmen untuk menuruti strategi baharu Washington yang dikenali sebagai ‘Indo-Pasifik’ bagi mengepung China: kerajaan United Kingdom (UK) sebagai contoh, bukan sahaja mengisytiharkan rancangan untuk menubuhkan pangkalan tentera di Asia Tenggara bahkan juga telah mengadakan latihan ketenteraan bersama tentera laut AS buat pertama kalinya di Laut China Selatan pada Januari tahun ini.

Begitu juga dengan kehadiran ketenteraan Jepun, Australia dan Perancis pada 2018.

Australia mengirim dua kapal frigate mengiringi kapal penggantian mereka yang belayar ke Vietnam pada April 2018, Perancis pula mengirimkan kapal penyerang Dixmude dan sebuah frigate ke Kepulauan Spratly pada Mei 2018, manakala Jepun sebelum ini mengadakan latihan ketenteraan melibatkan sebuah kapal selam, dua kapal pemusnah, dan sebuah kapal pengangkut helikopter pada September 2018.

Adakah kesemua perkembangan itu menjadi petunjuk bahawa Zon Aman, Bebas, dan Berkecuali (Zopfan) di Laut China Selatan bakal berakhir?

* Abdul Muein Abadi ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!