AS rancang pakatan tentera di perairan Teluk, Yemen

Penubuhan pakatan ketenteraan multinasional itu bertujuan untuk 'memastikan kebebasan navigasi' di rantau Asia Barat. (Gambar kecil: Joseph Dunford)
Penubuhan pakatan ketenteraan multinasional itu bertujuan untuk 'memastikan kebebasan navigasi' di rantau Asia Barat. (Gambar kecil: Joseph Dunford)
A
A
A

WASHINGTON - Amerika Syarikat (AS) mahu menubuhkan pakatan ketenteraan multinasional untuk melindungi perairan sekitar Iran dan Yemen di bawah langkah campur tangan terbaharu negara kuasa besar tersebut.

Pengerusi Ketua Turus Bersama AS, Jeneral Joseph Dunford berkata, beliau mahu 'memastikan kebebasan navigasi' di rantau Asia Barat yang menyediakan laluan perdagangan penting.

Menurut Dunford, Washington telah berbincang bersama beberapa negara tentang 'kehendak politik' bagi menyokong rancangan tersebut.

"AS akan menyediakan kapal perintah dan kawalan' serta mengetuai usaha pengawasan. Matlamat lain adalah untuk melihat keupayaan negara lain menawarkan bot bagi melakukan rondaan dan mengiringi kapal komersial yang membawa bendera negara masing-masing di kawasan tersebut," jelasnya.

"Kami juga akan bekerja secara langsung dengan tentera untuk mengenal pasti keupayaan khusus setiap negara yang menyokong inisiatif tersebut," jelasnya.

Difahamkan, Selat Hormuz dan Bab al-Mandab adalah lokasi strategik penting yang menyediakan akses dari Lautan Hindi ke Teluk dan Laut Merah.

Kira-kira satu perlima yang digunakan di seluruh dunia melalui Selat Hormuz yang menghubungkan Lautan Hindi dengan Teluk manakala kapal tangki minyak yang berlayar dari Timur Tengah ke Eropah merentasi Laut Merah perlu melalui Bab al-Mandab.

Tambahnya lagi, saiz inisiatif itu bergantung kepada jumlah negara yang mahu menyertai pakatan ketenteraan multinasional tersebut.

Artikel Berkaitan:

AS sudah mempunyai angkatan ketenteraan yang besar di rantau tersebut dan turut terlibat dalam beberapa operasi multinasional termasuk membanteras lanun dan antikeganasan.

Ibu pejabat Armada ke-5 Angkatan Tentera Laut terletak di Bahrain selain kemudahan di Djibouti, Kuwait dan Oman.

Britain yang juga mempunyai pangkalan tentera laut di Manama memaklumkan ia sentiasa memantau situasi keselamatan di rantau terbabit dan komited untuk mengekalkan kebebasan navigasi mengikut undang-undang antarabangsa. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!