APMM bongkar helah bot asing guna lesen bot tempatan

Rashidilhadi memeriksa hasil tangkapan ikan dari bot yang ditahan.
Rashidilhadi memeriksa hasil tangkapan ikan dari bot yang ditahan.
A
A
A

KEMAMAN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) membongkar helah terbaharu bot nelayan asing yang menggunakan nombor pendaftaran dan lesen bot nelayan tempatan ketika menangkap ikan secara haram di perairan negara ini bagi mengaburi mata pihak berkuasa dengan penahanan tiga bot asing tersebut.

Ketiga-tiga bot dinaiki 34 tekong dan awak-awak itu ditahan pada kedudukan antara 73 hingga 104 batu nautika timur laut Kuala Kemaman pada Ops Iman, Isnin lalu.

Pengarah Maritim Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, berdasarkan siasatan awal pihaknya percaya ketiga-tiga bot itu menggunakan nombor pendaftaran dan lesen nelayan tempatan bagi mengelakkan aktiviti mereka merompak hasil laut negara ini disedari pihak berkuasa.

"Kita percaya dalang yang membawa masuk bot nelayam asing ini adalah nelayan tempatan sendiri dan kita akan jalankan siasatan secara terperinci mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

"Ia termasuk kita akan memanggil pemilik asal lesen bot yang diserahkan untuk mengesahkan bot yang digunakan adalah bot sebenar seperti dalam lesen dan kita akan dapatkan kerjasama daripada Jabatan Perikanan untuk buat pengesahan bot-bot yang ditahan ini," katanya pada sidang media di Jeti Zon Maritim Kemaman petang semalam.

Rashidilhadi berkata, pihaknya sekarang mengesan banyak bot nelayan asing menggunakan nombor pendaftaran dan lesen bot tempatan namun pada hakikatnya bot nelayan asing itu memang berlainan dari bot nelayan tempatan.

Rashidilhadi (kanan) menunjukkan lesen bot nelayan asing yang digunakan bot nelayan asing yang ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kemaman.
Rashidilhadi (kanan) menunjukkan lesen bot nelayan asing yang digunakan bot nelayan asing yang ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kemaman.

"Mungkin mereka merasa kebal dan selamat apabila mempunyai lesen tempatan tapi hasil penguatkuasaan yg dilakukan sepanjang masa memang kita dapat kesan helah mereka ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kesemua 34 tekong dan awak-awak yang ditahan berusia lingkungan 16 hingga 59 tahun dan lebih mengejutkan salah seorang nelayan turut membawa isteri.

Jelasnya lagi, daripada jumlah itu juga, 32 adalah warga Vietnam manakala dua lagi warga Thailand dan ada antara mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

"Rampasan yang kita lalukan susulan penahanan tiga bot ini dianggarkan bernilai RM3 juta membabitkan nilai bot, ikan campur seberat 2.5 tan, satu tan ikan baja, diesel sebanyak 1,250 liter dan peralatan menangkap ikan," katanya.

Tambah beliau, ketiga-tiga bot terbabit bersama kesemua nelayan asing tersebut tiba di Jeti Zon Maritim Kemaman, Bukit Kuang kelmarin untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 dan Seksyen 8(a) akta sama.

Katanya, kes turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!