Tahap kepercayaan media di Malaysia meningkat
KUALA LUMPUR - Rakyat Malaysia kini lebih mempercayai media tradisional seperti akhbar, majalah dan televisyen berbanding media digital dan trend tersebut semakin baik berbanding lima tahun lepas.
Menurut laporan firma kajian pasaran antarabangsa, Ipsos, tahap kepercayaan kepada media tidak begitu memberangsangkan di peringkat global namun berbeza di Malaysia.
Menurutnya, kira-kira 79 peratus responden terdiri daripada rakyat Malaysia merasakan akhbar dan majalah melaporkan berita dengan baik namun di peringkat global hanya 50 peratus responden merasakan sedemikian.
Bagi segmen radio dan televisyen pula, seramai 77 peratus responden dari Malaysia mempercayai berita dikeluarkan dan di peringkat global, hanya 52 peratus responden mempercayainya.
“Rakyat Malaysia memberitahu mereka lebih percayakan media sekarang berbanding lima tahun lepas. Malaysia berada dalam ranking antara yang tertinggi dalam kajian ini bersama India, Arab Saudi dan Afrika Selatan.
“Negara seperti Hungary, Serbia dan Poland berada dalam ranking terendah antara semua negara,” menurut laoran Ipsos seperti dipetik daripada New Straits Times.
Kajian tersebut melibatkan 27 buah negara dengan penglibatan 19,541 orang dewasa di bawah umur 74 tahun dan seramai 500 rakyat Malaysia terlibat dalam kajian berkenaan.
Sementara itu, Pengarah Urusan Ipsos Malaysia, Arun Menon berkata, peningkatan tahap kepercayaan kepada media jelas kelihatan selepas Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) di mana negara ditadbir Pakatan Harapan (PH).
“Agak menarik apabila negara lain, tahap kepercayaan kepada media berkurang namun di Malaysia, tahap kepercayaan meningkat.
“Rakyat Malaysia juga cenderung untuk mempercayai berita dari sumber yang mereka sudah terbiasa, membuatkan media tradisional sedikit mengatasi media digital dari aspek rakyat mempercayai berita dikeluarkan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!