Samsung bantu masyarakat luar bandar melalui My School My Home
SAMSUNG Malaysia Electronics meneruskan misi agenda teknologi inovatif dengan membawa inspirasi kepada dunia melalui projek My School My Home.
Ia diharap dalam memberikan pendidikan sempurna kepada kanak-kanak luar bandar dengan Sekolah Kebangsaan (SK) Rambungan di pedalaman daerah Lundu di Sarawak menjadi pilihan projek itu.
Menurut Presiden Samsung Malaysia Electronics, Yoonsoo Kim, My School My Home menjadi titik pertemuan bagi pendidikan selain memperbaiki dan mempertingkatkan kehidupan setempat di SK Rambungan.
“Projek itu merupakan satu inisiatif yang dilancarkan Samsung Malaysia Electronics untuk membawakan kehidupan yang lebih baik kepada pelajar, guru, dan ibu bapa SK Rambungan menerusi dua penyelesaian.
“Pertamanya, My School menyediakan sebuah pusat sumber yang lebih lengkap di sekolah manakala My Home pula menyediakan kemudahan asrama untuk menempatkan guru dan ibu bapa yang datang dari jauh.
“Kami harap dengan inisiatif itu, ia dapat merapatkan jurang teknologi antara pelajar di kawasan pedalaman dan bandar,” katanya.
My School dilengkapi dengan tablet Samsung Galaxy dan televisyen pintar, dibangunkan untuk pelajar dan guru di sekolah untuk membantu melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran.
My Home pula dilengkapi dengan penyaman udara, peralatan rumah dan televisyen yang disumbangkan oleh Samsung. Ia dibina khusus untuk guru-guru dan ibu bapa yang menempuh perjalanan yang jauh untuk ke sekolah.
Kemudahan asrama anak yang sedia ada dan ruang dobi turut dinaik taraf supaya lebih teratur. Ruang dobi kini dilengkapi dengan pemasangan tempat cucian kain yang sesuai dan mesin basuh baharu Samsung.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!