Had umur belia perlu rujuk al-Quran, hadis
JOHOR BAHRU - Semua pihak diminta merujuk kembali al-Quran dan hadis bagi menentukan had umur belia yang menimbulkan konflik politik serta tidak diiktiraf di beberapa buah negeri.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemelah, Datuk Ayub Rahmat berkata, jika perkara ini tidak ditangani secara bijaksana, ia akan menjadi barah yang boleh membunuh potensi golongan belia tidak kira daripada segi kepimpinan, keusahawanan mahupun kemasyarakatan.
"Jika kita jujur dan ikhlas memahami maksud al-Quran dan hadis, sudah pasti tidak akan timbul perbezaan pendapat yang berpanjangan seperti yang berlaku pada hari ini.
"Sebagai bekas Pengerusi MBD Segamat, saya yakin perbalahan yang berpanjangan antara pemimpin kerajaan ini akan dapat diselesaikan jika masing-masing merujuk kepada pemegang taruh sebenar belia iaitu belia berpersatuan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, belia Johor amat beruntung kerana Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sentiasa rapat dan bergerak seiring dengan agenda pembangunan belia serta sukarelawan.
"Malah, baginda juga sentiasa memberi pandangan yang bernas ke arah keperkasaan belia di Johor.
"Ia pasti akan memberi motivasi serta sikap kenal diri dalam kalangan belia di negeri ini bagi menghadapi cabaran pada masa depan," katanya.
Untuk rekod, Ayub pernah menjawat jawatan sebagai Pengerusi Majlis Belia Daerah (MBD) Segamat tahun 2002 hingga 2010.
Beliau juga pernah menerima Anugerah Tokoh Belia Johor 2007 dan Jasa Belia Johor 2010 serta Pingat Jasa Cemerlang MAYC (JC) 2016.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!