Had umur belia: PM kaji benarkah campur tangan Istana Johor
KUALA LUMPUR - Kerajaan Persekutuan akan mengkaji sama ada wujud campur tangan Istana Johor dalam isu pertikaian mengenai umur belia di negeri itu.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, penelitian itu akan dibuat sekiranya benar wujud campur tangan Istana Johor hingga menyebabkan kerajaan negeri beberapa kali menukar pendirian mereka.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam yang berharap supaya Istana Johor tidak masuk campur urusan kerajaan Persekutuan berhubung had umur belia.
“Mesti ada campur tangan, sebab itu dia (Muhyiddin) kata begitu. Kita akan melihat sama ada wujud campur tangan atau tidak.
“Kita akan teliti dan melihat sama ada alasan yang diberi (Kerajaan Johor) diterima atau tidak,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.
Semalam, Muhyiddin berkata Istana Johor boleh memberi pandangan berhubung apa jua perkara yang dirasakan perlu, namun kerajaan negeri wajar diberi kebebasan untuk membuat keputusan akhir.
Sehubungan itu, beliau meminta Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berjumpa dan memberi penjelasan kepada Istana Johor supaya pelaksanaan pindaan umur belia 15 hingga 30 tahun, dapat diseragamkan di seluruh negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!