Tambahan 13 kerusi DUN Sabah dibentang di Parlimen

Mohd Shafie Apdal - Foto fail Bernama
Mohd Shafie Apdal - Foto fail Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Tambahan 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan dapat dilaksanakan apabila dibentangkan di Dewan Rakyat pada 17 Julai ini.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yakin tambahan 13 kerusi DUN Sabah itu akan mendapat kelulusan di Parlimen yang hanya memerlukan majoriti mudah dan bukan dua pertiga kerana tidak membabitkan pindaan perlembagaan.

Katanya kerusi tambahan itu sudah diluluskan di DUN Sabah ketika ia dibentangkan oleh kerajaan negeri sebelum ini.

"Tiada sebab kami (Kerajaan Negeri pada masa ini) tidak menyokong tambahan kerusi DUN ini kerana ia membolehkan tambahan wakil rakyat di peringkat negeri Sabah.

"Saya akan berada di Parlimen pada 16 dan 17 Julai ini dan sebagai ahli parlimen (Semporna) saya akan membahas bagi mendapatkan sokongan tambahan kerusi DUN Sabah ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Minyak dan Gas Sabah dan Pameran di sini, hari ini.

Mohd Shafie berkata kelulusan dari Dewan Rakyat diperlukan sebelum tambahan 13 kerusi DUN Sabah itu dapat dilaksanakan.

Pada 9 Ogos 2016, DUN Sabah meluluskan pindaan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sabah untuk meminda Perkara 14 Fasal (2) Perlembagaan Negeri Sabah bagi menambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kepada 73, berbanding 60 ketika ini.

Pindaan rang undang-undang itu disokong 55 ADUN, termasuk lima wakil rakyat pembangkang dan empat Bebas, manakala tiga wakil pembangkang tidak bersetuju serta seorang berkecuali.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan persempadanan baharu itu, 13 kerusi tambahan yang dicadangkan ialah Bengkoka, Mangaris, Pintasan, Pantai Dalit, Darau, Tanjung Dumpil, Dambai, Tulid, Telupid, Sungai Manila, Lamag, Segama dan Kukusan.

Pada 8 Julai lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong mengumumkan Kerajaan Pakatan Harapan telah meneliti Laporan SPR mengenai Kajian Semula Persempadanan Mengenai Syor-syor Yang Dicadangkan bagi Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri.

Katanya pada 17 Julai ini, kerajaan akan membentangkan usul draf Perintah Perlembagaan Persekutuan (Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya) (Negeri Sabah) beserta Laporan SPR bertarikh 14 Februari 2017 di Parlimen. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!