Kerajaan tiada hasrat gubal akta ketum: Boon Chye
KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak berhasrat untuk menggubal satu akta khas berkaitan ketum.
Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, sebaliknya kerajaan dalam proses meminda Akta Racun 1952 (Akta 366) yang akan memperuntukkan larangan ke atas aktiviti perladangan, penanaman, pengimportan, pengeksportan, pembekalan, penjualan dan pemilikan pokok ketum.
"Draf pindaan Akta Racun ini sedang berjalan dan kita akan berbincang dengan pihak pemegang taruh.
"Draf yang kita cadangkan kemungkinan besar juga tidak akan membenarkan penanaman ketum secara besar-besaran kecuali di dalam keadaan tertentu untuk penyelidikan dan sebagainya. Kita cadangkan untuk bentang pindaan pada Oktober ini," katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Nor Azrina Surip (PH-Merbok) yang ingin tahu sama ada kerajaan akan menggubal satu akta khas berkaitan ketum.
Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan), Boon Chye berkata, kerajaan tidak berhasrat menggalakkan penanaman ketum kerana akan menyebabkan lebih banyak masalah sosial.
"Di Malaysia, masalah ketum ini ia digunakan sekali dengan dadah lain. Selepas jadi ketagih dengan ketum, mereka akan naik taraf kepada dadah lain.
"Sebab itu kerajaan tidak berhasrat galakkan penanaman ketum kerana ini satu masalah sosial yang perlu dibendung," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!