Cikgu cedera diragut di pusat beli-belah
MELAKA TENGAH - Seorang guru wanita cedera selepas disamun seorang lelaki ketika sedang mengemas barang dalam but kenderaannya di sebuah pusat beli-belah di Jalan Panglima Awang di sini semalam.
Wanita berusia 30 tahun itu berada di bahagian belakang kereta yang diletakkan dalam kawasan pusat beli-belah berkenaan sebelum didatangi suspek yang meragut beg tangannya kira-kira jam 3.15 petang.
Suspek mencederakan mangsa yang bersendirian itu menggunakan sebilah pisau sebelum melarikan diri menaiki kereta jenis Perodua Axia dan cuba dikejar seorang saksi wanita berusia 34 tahun
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, saksi gagal mengejar suspek namun berjaya mengecam nombor pendaftaran kenderaan terbabit
"Polis membuat semakan nombor pendaftaran kereta itu dan berjaya menahan suspek berusia 25 tahun itu di sebuah rumah di Batu Berendam kira-kira jam 5 petang.
"Hasil pemeriksaan di rumah itu polis jumpa beg tangan mangsa bersama barangan peribadi termasuk beg duit, dokumen pengenalan diri, telefon bimbit, kad bank serta wang tunai berjumlah RM450," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, kejadian samun itu menyebabkan mangsa mengalami luka pada jari kanan dan lengan sebelah kiri ketika cuba menarik beg tangannya.
"Mangsa dihantar ke Hospital Melaka bagi mendapatkan rawatan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!