Bersedekah membuka pintu rahmat
BILAKAH kali terakhir anda menghulur sedekah dan memberi infak kepada orang yang memerlukan bantuan atau pertolongan anda?
Jika sifat suka bersedekah adalah amalan biasa anda, maka anda tergolong dalam kumpulan insan yang cukup beruntung kerana Tuhan telah membuka hati anda untuk berbuat sesuatu yang akan membawa rahmat ke dalam kehidupan anda.
Tetapi jika anda liat atau jarang-jarang bersedekah, maka ada baiknya jika anda mengambil peluang untuk merenungi di mana anda berada sebagai hamba-Nya dan apa manfaatnya diri anda kepada orang lain?
Bersedekah dan memberi infak memerlukan pengorbanan. Kesanggupan dan kesediaan untuk memberi apa yang ada pada kita memerlukan hati yang lapang dan jiwa yang suci. Ia berkait rapat dengan keimanan seorang Muslim.
Dalam Surah al-Baqarah, ayat tiga, ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “(Orang yang beriman itu adalah) orang-orang yang beriman dengan perkara yang ghaib, menunaikan solat dan mereka memberi infak apa yang kami rezekikan kepada mereka.”Sedekah menjadi antara amalan yang paling berat dilakukan khususnya manusia yang tidak suka berkongsi harta dengan orang lain. Namun, orang beriman yang memahami konsep sedekah itu akan meyakini ia amalan terpuji, yang bukan hanya mampu menyucikan diri dan harta, bahkan pahalanya berkekalan hingga ke hari pembalasan.
Firman Allah SWT: “Sesungguhnya sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang fakir, orang miskin, amil yang menguruskannya dan orang mualaf yang dijinakkan hatinya serta untuk hamba yang hendak memerdekakan dirinya dan orang yang berhutang dan untuk (dibelanjakan pada) jalan ALLAH dan orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang sedemikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari ALLAH. Dan (ingatlah) ALLAH Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (QS At-Taubah: 60)
Meraih rahmatAmalan sedekah tidak terhad kepada orang berharta, sebaliknya orang Islam yang tidak memiliki harta pun boleh bersedekah berdasarkan kemampuannya asalkan lahir daripada hati yang ikhlas.
Sedekah juga tidak terhad kepada pemberian wang ringgit atau harta benda, sebaliknya merangkumi hal seperti mengajar ilmu baik dan memberi pertolongan. Malah, senyum juga disifatkan sebagai sedekah apatah lagi jika ia membabitkan pembangunan ekonomi umat Islam seperti membayar zakat, berwakaf dan infak (memberi sumbangan wang serta harta).
Abu Dzarr berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Senyummu kepada saudaramu ialah sedekah bagimu; kamu memerintah kepada kebaikan dan melarang kemungkaran ialah sedekah; kamu memberi petunjuk kepada seseorang sesat di jalan ialah sedekah; kamu melihat kepada seseorang yang tidak dapat melihat dan menolongnya sedekah bagimu; kamu menghilangkan batu, duri dan tulang di jalan ialah sedekah bagimu dan kamu memasukkan air daripada timbamu ke timba saudaramu sedekah bagimu.” (HR Tarmizi)
Mengikut data yang dikeluarkan Charities and Aid Foundation, Indeks Pemberian Bantuan oleh Rakyat pada tahun 2017 menunjukkan tujuh negara teratas dalam sumbangan bantuan adalah seperti berikut:
1. Myanmar
2. USA
3. Australia
4. New Zealand
5. Sri Langka
6. Kanada
7. Indonesia
Bagi tahun 2017, Malaysia tidak tersenarai dalam indeks namun bagi tahun 2016, Malaysia berada di tangga ke-22. Bagi purata kedudukan antara tahun 2012-2016 pula, negara kita berada di tangga ke-17. Agak boleh dibanggakan jugakah? Orang Malaysia sememangnya rata-rata terkenal sebagai pemurah dalam memberi sedekah dan sumbangan bantuan kepada negara lain yang ditimpa bencana dunia.
Namun kebaikan dan sifat pemurah hati rakyat Malaysia sering disalahgunakan oleh peminta sedekah. Sehingga timbul dan wujud banyak sindiket yang menipu untuk mendapatkannya. Ada pihak-pihak tertentu tidak segan silu menggunakan alasan dan sebab agama untuk meraih sumbangan. Ada sindiket yang menggunakan orang miskin termasuk kanak-kanak untuk tujuan tersebut. Kita lihat ramai pengemis dan peminta sedekah di kawasan masjid dan rumah ibadat. Membuat kita rimas dan sangsi tentang misi dan keadaan sebenar mereka.
Kita tidak mahu melihat negara kita dicemari dengan gejala dan sindrom meminta sedekah secara tidak terkawal seperti yang berlaku di negara jiran. Lebih baik jika kita sedekahkan terus kepada rumah orang tua atau golongan yang benar-benar memerlukan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!