Polis belum terima laporan kes buli jalanan
PUCHONG - Polis belum menerima sebarang laporan berhubung tindakan seorang pemandu kenderaan yang dipercayai melakukan kes buli jalanan susulan penularan satu klip video menerusi laman sosial baru-baru ini.
Menurut sumber polis, berdasarkan semakan pihaknya masih belum menerima sebarang laporan daripada mangsa terlibat susulan daripada insiden tersebut.
Menerusi klip video berdurasi 1:32 saat itu, seorang pemandu dilihat membuat isyarat tangan sebelum memintas kenderaan dipandu wanita yang sedang merakam kejadian tersebut.
Selain itu, pemandu berkenaan juga turut dilihat memandu secara merbahaya dan menghalang mangsa terlibat untuk memintas kenderaannya itu.
"Saya akan hubungi polis disebabkan oleh pemandu ini. Dia tidak mahu memberi laluan kepada saya," kata pemandu wanita terbabit menerusi video berkenaan.
Difahamkan, kejadian itu juga dipercayai berlaku di Bandar Putri Puchong.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!