Dua sepupu curi bot ditahan polis

Salah seorang suspek (dua dari kiri) diberkas polis selepas mencuri bot berkenaan.
Salah seorang suspek (dua dari kiri) diberkas polis selepas mencuri bot berkenaan.
A
A
A

SABAK BERNAM - Dua sepupu yang bekerja sebagai nelayan dicekup polis selepas melesapkan sebuah bot fiber bernilai RM50,000 di Jeti Sungai Nipah di sini, 7 Julai lalu.

Kedua-dua suspek masing-masing ditahan sepasukan polis dalam dua serbuan berasingan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Deputi Superintendan Lim Chee Khoon berkata, polis memberkas suspek berusia 47 tahun kira-kira jam 5 petang di tepi jalan besar Batu 23, Sungai Nibong, Sekinchan, Ahad lalu.

"Hasil soal siasat mendapati suspek mengaku mencuri bot fiber di jeti bersama dengan seorang lagi sepupunya," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam, hari ini.

Chee Khoon berkata, hasil maklumat suspek pertama kemudiannya membawa kepada penangkapan seorang lagi sepupunya dalam serbuan di Jeti Tok Muda, Kapar, Klang, keesokannya.

"Hasil pemeriksaan polis menemui semula bot yang dicuri kedua-dua suspek dan jarak lokasi kehilangan bot dari lokasi asal dianggarkan kira-kira 72 kilometer," katanya.

Chee Khoon berkata, pemilik bot berusia 52 tahun sebelum ini tampil membuat laporan polis mengenai kehilangan bot miliknya pada 9 Jun lalu.

Sehubungan itu, katanya, mangsa kemudian bertindak membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Hasil semakan polis mendapati suspek pertama memiliki dua rekod lampau berkaitan jenayah dan ujian air kencingnya negatif dadah.

"Manakala, suspek kedua tidak mempunyai sebarang rekod lampau dan ujian air kencingnya turut negatif dadah.

“Semua suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!