Maut diratah 18 ekor anjing peliharaan
TEXAS - Misteri kehilangan seorang lelaki sejak beberapa bulan lalu terungkai selepas dia disahkan maut akibat 'diratah' sekumpulan anjingnya.
Menurut Pejabat Sherif Johnson County, ujian DNA dijalankan terhadap serpihan tulang yang dtemui pada najis anjing peliharaan mangsa mengesahkan ia milik Freddie Mack, 57.
Timbalan Sherif Aaron Pitts berkata, 18 ekor anjing didakwa memakan keseluruhan tubuh Mack termasuk pakaian dan rambutnya serta hanya meninggalkan serpihan tulang sebesar tidak lebih daripada dua hingga lima inci.
“Kami tidak pernah mendengar kes seluruh badan manusia dimakan. Tulang mangsa habis sepenuhnya dimakan anjing.
“Kesemua anjing Mack dijaga dengan baik. Dia amat menyayangi haiwan peliharaannya,” katanya.
Difahamkan, Mack mempunyai masalah kesihatan yang serius dan setakat ini masih tidak jelas sama ada anjing itu membunuh pemiliknya atau dia menjadi makanan haiwan berkenaan selepas meninggal dunia akibat masalah kesihatan.
Mei lalu, salah seorang ahli keluarga Mack melaporkan kehilangan mangsa dari rumahnya berhampiran Venus selepas tidak mendengar khabar daripada lelaki tersebut sejak pertengahan April.
Selepas beberapa hari usaha mencari dilakukan, polis menemui najis anjing yang mengandungi rambut manusia, pakaian dan tulang di kawasan semak. - AP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!