Lelaki miliki pistol tiruan, pelbagai dadah ditahan
KOTA TINGGI - Polis Kota Tinggi menahan seorang lelaki bersama pistol tiruan dan juga pelbagai jenis dadah di Kilometer 35 Jalan Kota Tinggi - Bandar Tenggara di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, kira-kira jam 1.15 pagi anggota Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotor (URB) Balai Polis Bandar Tenggara ketika menjalankan tugas rondaan telah mengejar sebuah motosikal dalam keadaan mencurigakan.
"Dalam beg tersebut terdapat empat peket plastik lut sinar berisi bahan disyaki dadah jenis heroin dianggarkan seberat 250.79 gram, satu peket plastik lut sinar berisi bahan disyaki dadah jenis syabu (30.64 gram) dan sepucuk pistol tiruan jenis Glock dalam bakul motosikal suspek.
"Dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM13,200 dipercayai bagi kegunaan kira-kira 550 penagih di kawasan tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, suspek yang didapati positif dadah jenis morfin selepas ujian saringan awal urin dilakukan itu ditahan untuk disiasat di bawah Seksyen 39B, Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Suspek yang direman selama tujuh hari ini hingga 17 Julai itu juga akan disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Senjata Api 1960," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!