Kadar kesuburan rakyat Malaysia menurun?

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PETALING JAYA - Malaysia dijangka mengalami penguncupan penduduk pada 2072 jika kadar kesuburan terus menurun daripada 1.9 pada 2016 kepada 1.7 pada 2050 seperti yang diunjurkan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh berkata meskipun bilangan penduduk semakin bertambah, kadar pertumbuhan tahunan penduduk dijangka akan kekal menurun sehingga 0.7 peratus pada 2050, kesan penurunan kadar kesuburan daripada 4.0 orang anak pada 1980 kepada 1.9 orang anak pada 2016.

"Penurunan pesat kadar kesuburan penduduk ini sekaligus mempercepatkan proses penuaan penduduk yang mana Malaysia dijangka menjadi 'negara tua' pada 2030 apabila 15 peratus penduduknya berumur 60 tahun ke atas.

"Perkara ini akan menyebabkan negara bakal kekurangan sumber tenaga kerja yang lebih serius sehingga menjejaskan pembangunan negara," katanya ketika berucap merasmikan Seminar Cabaran Utama Kependudukan di Malaysia dan Pelancaran Buku 'Analisis Situasi Kependudukan dan Kekeluargaan’ di Malaysia di sini, hari ini.

Yeoh berkata bagi memastikan kekurangan sumber tenaga kerja dapat diatasi, kadar penyertaan tenaga buruh perlu dipertingkatkan terutamanya dalam kalangan wanita.

"Persepsi mengenai Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pendidikan kelas kedua juga perlu diubah kerana ia mampu menyumbang kepada peningkatan penyertaan tenaga buruh," katanya.

Dalam pada itu, Yeoh berkata Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima (KPKM-5) juga mendapati semakin ramai pasangan tidak ingin melahirkan anak walaupun masih muda.

"Antara sebab utama pasangan tidak ingin melahirkan anak adalah kerana kesukaran yang dihadapi wanita bekerja untuk mengimbangi peranan dalam keluarga dan tempat kerja selain beberapa isu lain seperti kekangan kewangan, perkahwinan lewat dan harga rumah di luar kemampuan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai beberapa kejadian penderaan seksual terhadap kanak-kanak yang berlaku akhir-akhir ini, Yeoh berkata ibu bapa perlu mendidik anak-anak untuk mengadu dan melapor kepada golongan dewasa serta pihak berkuasa sekiranya mereka menjadi mangsa seksual bagi memastikan tindakan dapat diambil.

"Saya yakin banyak kes penderaan seksual terhadap kanak-kanak yang berlaku tetapi tidak dilaporkan. Oleh sebab itu sekarang kita uar-uarkan Talian Kasih 15999 menerusi video dengan kerjasama pihak Google dan Malaysia Against Pornography supaya kanak-kanak tahu cara untuk membuat laporan.

"Kita juga mahu universiti untuk melihat dan mengkaji bagaimana orang yang melakukan jenayah seksual ini boleh bertindak demikian, kemungkinan besar mereka juga seorang mangsa seksual masa kecil. Berdasarkan hubung kait itu, kita memerlukan lebih banyak data untuk melakukan intervensi,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!