Peratusan rawatan gigi kalangan orang asli masih rendah
SUNGKAI - Hanya 26.3 peratus dari keseluruhan masyarakat orang asli di negara ini mendapatkan perkhidmatan kesihatan pergigian.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, peratusan yang diperolehi hasil laporan tahun lalu itu dianggap rendah iaitu kira-kira 46,898 orang sahaja merangkumi perkhidmatan di fasiliti pergigian statik dan bergerak.
Menurutnya, keadaan itu mungkin dipengaruhi tabiat masyarakat orang asli yang menjadikan berubat sendiri sebagai kaedah utama penyembuhan.
"Ini berdasarkan satu kajian tempatan dijalankan bagi mengenal pasti tabiat dan kepercayaan orang asli suku Semai pada 2001 lalu.
"Kajian mendapati penyakit utama pada bahagian mulut dalam kalangan masyarakat itu adalah sakit gigi, setelah berubat sendiri dan mendapati sakit tidak sembuh, mereka akan meminta bantuan orang yang pandai dikenali Tok Halaq.
"Setelah Tok Halaq tidak mampu mengubatinya, barulah pesakit ini dinasihati mendapatkan rawatan lanjut dengan doktor," katanya ketika berucap merasmikan program Ikon Gigi Orang Asli (iGGOA) peringkat Kebangsaan di Kampung Orang Asli Menderang 1 di sini hari ini.
Dzulkefly berkata, keadaan itu jelas menunjukkan peranan penting individu berpengaruh seperti Tok Halaq atau dikenali Tok Batin dalam menentukan kesihatan masyarakat orang asli.
Katanya, selari dengan Rancangan Malaysia Ke-11 dan Pelan Tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia 2016-2020, program Ikon Gigi yang dilaksanakan turut mengambil kira pemerkasaan kualiti hidup orang asli.
"Masyarakat secara umumnya lebih mempercayai individu daripada kumpulan sama, dalam konteks ini, Ikon Gigi Orang Asli dipilih dan mereka akan bertindak sebagai pemudah cara untuk meningkatkan kesedaran dalam masyarakat mereka sendiri," katanya.
Dalam majlis itu, seramai 21 Tok Batin dari enam daerah iaitu Batang Padang, Mualim, Kampar, Kinta, Perak Tengah dan Hilir Perak menerima pentauliahan sebagai Ikon Gigi Orang Asli.
Sejak program Ikon Gigi dilaksanakan 2014 lalu, seramai 500 sukarelawan Ikon Gigi terdiri daripada kumpulan profesional hinggalah suri rumah telah ditauliahkan dan telah menyampaikan mesej kesihatan pergigian kepada 30,000 orang, tahun lalu.
Hadir sama, Exco Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia, A Sivanesan; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli, Prof Dr Juli Edo dan Pengarah Kanan Kesihatan Pergigian Kementerian Kesihatan, Dr Doreyat Jemun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!