Nelayan Vietnam tangkap sotong tanpa lesen
KUANTAN - Dua bot zon C tempatan bersama 16 awak-awak warga Vietnam yang memiliki 80 alat mencandat sotong tanpa lesen ditahan Jabatan Perikanan Pahang (JPP) di perairan Tanjung Sekukuh Pekan, Ahad lalu.
Pengarahnya, Datuk Azahari Othman berkata, aktiviti itu dikesan menerusi rondaan pasukan Bahagian Perlindungan Sumber JPP di perairan Pekan kira-kira 21.5 batu nautika.
Menurutnya, bot yang digunakan warga Vietnam itu berdaftar di Pekan dan menggunakan pangkalan Kuala Pahang, Pekan, tetapi tidak memiliki lesen melakukan aktiviti mencandat sotong.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati hanya sebuah bot sahaja memiliki hasil tangkapan sotong pelbagai saiz sebanyak 100 kilogram (kg) bernilai RM250 yang dipercayai untuk pasaran tempatan.
“Siasatan ke atas semua awak-awak warga Vietnam berusia antara 23 hingga 49 tahun, memiliki permit kerja dan perjalanan yang sah serta dipercayai lebih menumpukan kepada aktiviti menangkap sotong," katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, pemilik bot terbabit juga akan dikenakan kompaun mengikut Akta Perikanan 1985.
Dalam pada itu, Azahari berkata, kumpulan nelayan itu menggunakan teknik menangkap sotong menggunakan candat galah atau joran buluh.
Bagaimanapun, kaedah tersebut lebih terkenal digunakan di negara jiran.
“Saya percaya semua peralatan menangkap sotong seperti candat, lampu dan joran buluh dibawa masuk daripada negara asal nelayan terbabit.
“Ini kerana cara yang digunakan itu dikatakan mampu menangkap sotong dengan jumlah yang banyak,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!