IPOH - Exco Kerajaan Perak, Paul Yong yang sedang disiasat atas dakwaan merogol pembantu rumahnya tidak perlu bercuti. Peguamnya, Leong Cheok Keng berkata, pihaknya berpegang kepada prinsip bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah. Beliau berkata, anak guamnya itu bebas melakukan tugas sebagai Exco kerajaan negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh. "Dia masih bertugas sebagai Exco seperti biasa. Saya percaya dia tidak bersalah dan tiada sebab dia bercuti atau digantung tugas. "Saya berkata bukan sebab Paul Yong kawan baik tetapi sebagai peguam kita mempunyai bukti kukuh bahawa dia tidak lakukan perbuatan itu," katanya kepada media ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, hari ini. Semalam, Pemuda Pas Perak tampil mendesak agar tugas Paul sebagai Exco kerajaan negeri digantung sehingga siasatan dan pendakwaan selesai. Mengenai perkembangan kes pula, Cheok Keng yang juga ADUN Malim Nawar berkata, pihaknya mempunyai bukti kukuh bahawa tuduhan tersebut tidak berasas. Katanya, amat mustahil kejadian tersebut boleh berlaku kerana pada masa kejadian terdapat saksi iaitu ahli keluarga berada di lokasi. Beliau berkata, kesemua saksi-saksi yang berada di lokasi kejadian ketika dakwaan itu dibuat sudah pun memberikan keterangan kepada polis. Ditanya mengapa anak guamnya tidak direman seperti kes-kes lain, Cheok Keng berkata, keperluan reman dibuat untuk mengumpul keterangan yang tidak mencukupi. Bagaimanapun katanya, dalam kes ini Paul memberikan kerjasama secara sukarela kepada pihak polis dalam memberikan keterangan. "Tindakan dia berani kerana benar. Jika dia sendiri dengan rela hati pergi ke balai polis memberikan keterangan, mengapa perlu dia direman? Dia boleh sahaja pergi ke balai polis pada bila-bila masa jika diminta berbuat demikian," katanya. Jelas Cheok Keng, sebagai seorang pemimpin kerajaan yang bertanggungjawab, mustahil untuk anak guamnya melarikan diri. Katanya, tindakan polis membebaskan Paul dengan jaminan adalah tepat. Semalam, Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain memaklumkan bahawa exco kerajaan negeri yang dikaitkan dengan siasatan kes rogol pembantu rumah warga Indonesia telah dibebaskan dengan jaminan polis.ARTIKEL BERKAITAN Saya tidak pernah merogolnya: Paul Yong