Barangan tiruan bernilai RM3.2 juta dilupuskan
BUKIT MERTAJAM - Beg tangan berjenama, dompet, jersi bola sepak, jam tangan dan aksesori telefon bimbit antara barang rampasan bernilai RM3.2 juta yang dilupuskan Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PKPDNHEP) Pulau Pinang hari ini.
Selain itu, barang rampasan termasuk produk makanan, peralatan audio, aksesori wanita dan cakera video digital turut dilupuskan dalam satu majlis yang diadakan di Kompleks Penyimpanan Ekshibit KPDNHEP di Bukit Minyak di sini petang tadi.
Pengarah KPDNHEP Pulau Pinang, Mohd Ridzuan Abdul Ghapar berkata, kesemua barangan berkenaan adalah hasil rampasan membabitkan 147 kes sejak 2014 sehingga tahun ini.
Menurutnya, kesemua barang yang disita di seluruh negeri itu dilupuskan selepas pihaknya mendapat perintah mahkamah.
"Selain barangan tiruan atau ciplak, ia antaranya membabitkan kesalahan menggunakan perihal dagangan palsu, logo halal tidak sah selain kesalahan mengikut Akta Jualan Langsung iaitu tanda harga, jualan murah dan penglabelan.
"Ini adalah proses pelupusan kali keenam yang kita lakukan pada tahun ini dan PKPDNHEP Pulau Pinang menetapkan akan melakukan pelupusan barang kes yang telah diputuskan oleh mahkamah pada setiap bulan," katanya pada sidang media selepas majlis pelupusan itu di sini hari ini.
Mohd Ridzuan berkata, turut dilupuskan sebanyak 4,759 unit katrij dan toner tiruan bernilai RM1.76 juta yang dirampas dan melibatkan tiga kes sebelum ini.
Sementara itu, katanya pelupusan turut dilakukan di peringkat PKPDNHEP Daerah Seberang Perai Tengah yang melibatkan 22 kes dengan nilai rampasan RM227,838 dan bagi Daerah Seberang Perai Utara sebanyak tiga kes telah dilakukan proses pelupusan yang melibatkan nilai rampasan sebanyak RM3,485.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!