Pasangan suami isteri, kekasih terlibat 34 kes samun ditahan

Zainol (tiga dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan barangan yang dirampas dari suspek.
Zainol (tiga dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan barangan yang dirampas dari suspek.
A
A
A

GEORGETOWN - Sepasang suami isteri dan kekasih ditahan kerana disyaki terlibat dalam 34 kes samun dan ragut di daerah Timur Laut sejak awal tahun ini.

Tiga suspek ditahan sepasukan polis daerah Timur Laut di Pelabuhan Sweetenthan, Lebuh Pantai di sini pada jam 10 pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Datuk Zainol Samah berkata, mereka yang ditahan menerusi Op Rentap Sempadan itu terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 27 hingga 33 tahun.

Menurutnya, susulan daripada penahanan itu, polis menyerbu dua buah rumah di Lintang Kalui, Seberang Jaya dan di Bukit Lada, Pokok Sena, Kedah.

"Dalam serbuan itu, kita berjaya menahan seorang lagi suspek wanita berusia 29 tahun. Pemeriksaan di kedua-dua buah rumah itu turut menemui pelbagai jenis barang kemas; nombor pendaftaran palsu motosikal yang digunakan untuk meragut serta 10 bungkusan dadah disyaki jenis syabu.

"Siasatan awal mendapati, mereka aktif melakukan kegiatan samun ini sejak tahun lalu," katanya pada sidang media tadi.

Jelasnya, kesemua suspek menjadikan warga emas terutamanya yang bersendirian sebagai sasaran dengan menaiki motosikal pelbagai jenis antaranya Yamaha Y15, Yamaha 125ZR, Honda EX5 dan Yamaha LC135.

"Kesemua motosikal itu dipercayai dicuri untuk menjalankan kegiatan samun. Suspek menyasarkan warga emas wanita sama ada yang berjalan kaki; menyiram pokok bunga di hadapan rumah atau yang sedang mengeluarkan barang dan berjalan ke tempat letak kereta. Mereka akan berpura-pura bertanyakan alamat lalu menyamun mangsa.

Artikel Berkaitan:

"Kedua-dua suspek lelaki yang ditangkap aktif melakukan jenayah samun dan ragut sekitar negeri ini dan di Kedah serta Perak. Mereka turut mengakui terlibat dalam sekurang-kurangnya 34 kes samun dan ragut, masing-masing 22 kes di Pulau Pinang; tujuh di Kedah dan lima di Perak," katanya.

Zainol berkata, salah seorang daripada suspek wanita bertindak menjual barangan kemas yang diragut pada harga murah menerusi dalam talian termasuk Facebook.

"Ada mangsa yang cedera kerana ditolak dan dipukul oleh suspek namun tidak serius. Dengan kegiatan mereka itu, suspek mampu hidup mewah dengan pendapatan RM10,000 sebulan.

"Saya menggesa mana-mana individu yang membeli barang kemas pada harga murah terutama daripada pembeli wanita dari negeri ini menerusi dalam talian agar menghubungi polis bagi membantu siasatan," katanya.

Kesemua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan bagi kesalahan rompakan berkawan mengikut Seksyen 395B Kanun Keseksaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!