Curi wang simpanan ibu: 'Saya dah maafkan dia'
MACHANG - Seorang ibu masih mampu memaafkan kesalahan anaknya walaupun terluka dengan perbuatan lelaki itu mencuri wang simpanan berjumlah RM1,480 dalam akaun bank miliknya pada Mei lalu.
Malah wanita warga emas yang berusia 63 tahun itu turut merayu kepada mahkamah supaya mengurangkan hukuman terhadap anaknya itu kerana tertuduh mempunyai seorang anak yang masih kecil selain sudah memaafkan kesalahannya.
"Saya sudah memaafkan dia dan berharap hukuman dapat dikurangkan. Jika mampu, saya sanggup membayar denda yang dikenakan bagi membebaskannya," katanya di Mahkamah Majistret Machang di sini hari ini.
Terdahulu anaknya, Sharil Fazrullah Shaib, 24, didakwa atas empat pertuduhan mengeluarkan wang simpanan tanpa kebenaran wanita warga emas itu.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan empat capaian tanpa kuasa dengan menggunakan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) Bank Simpanan Nasional dan mengeluarkan wang yang keseluruhan berjumlah RM1,480 milik ibunya tanpa kebenaran.
Tertuduh melakukan kesalahan itu dari tempoh antara 11 hingga 17 Mei lalu di Mesin ATM Bank Simpanan Nasional di sini.
Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM150,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Khairunnisa Affandi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Dalam rayuannya tertuduh memohon dikurangkan hukuman dengan alasan dia sudah menyesal dan mempunyai anak yang masih kecil yang perlu ditanggung.
Majistret, Amal Razim Alias kemudian menjatuhkan hukuman denda RM9,000 selepas tertuduh mengaku salah dan menasihati Sharil Fazrullah supaya membayar balik kepada ibunya sekiranya wanita itu yang menjelaskan denda berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!