Keusahawanan negara ditingkat hadapi keadaan tak menentu: Tun M

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berucap pada Pelancaran Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) hari ini. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berucap pada Pelancaran Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) hari ini. - Foto BERNAMA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keusahawanan negara perlu dipertingkatkan terutamanya dalam keadaan ekonomi dunia yang kompetitif, mencabar serta penuh dengan ketidaktentuan akibat perang perdagangan yang berlaku ketika ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pembangunan keusahawanan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menjadi aset penting kepada kerajaan untuk meningkatkan tahap ekonomi rakyat dan juga merupakan strategi dan inisiatif untuk mengeluarkan negara daripada perangkap pendapatan pertengahan.

“Oleh itu Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2030 yang dilancarkan hari ini amat wajar dan ia diperkenal tepat pada masanya, “ katanya dalam ucap tama beliau sempena pelancaran dasar tersebut, di sini hari ini.

Selain itu, Dr Mahathir berkata kerajaan juga ingin melihat sumbangan sektor PKS yang lebih besar kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara.

Melalui DKN, katanya, menjelang 2025, PKS disasar menyumbang 45 peratus kepada KDNK negara, 72 peratus kepada jumlah keseluruhan pekerjaan, serta 25 peratus sumbangan eksport kepada KDNK.

Beliau berkata, dengan adanya dasar ini, beberapa isu yang mengganggu kelompok usahawan akan dapat diselesaikan melalui fokus dasar yang holistik untuk membina ekosistem keusahawanan yang inklusif.

“Saya harap ini akan menjadi nukleus dan pemangkin kepada budaya keusahawanan di negara ini,” katanya.

Sementara itu mengenai prestasi ekonomi negara, Perdana Menteri berkata walaupun keadaan yang tidak menentu akibat perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China itu, Malaysia masih mampu menarik pelaburan langsung asing (FDI) yang tinggi mencecah RM21.7 bilion pada suku pertama 2019 berbanding RM11.2 bilion dalam suku yang sama pada 2018.

Artikel Berkaitan:

Manakala, katanya, laporan terkini Prospek Ekonomi Dunia Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) turut memberikan unjuran yang sangat positif kepada Malaysia.

KDNK dan pendapatan per kapita negara diramal meningkat, dan berasaskan nilaian semasa Malaysia mampu mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2021 atau 2022, kata Dr Mahathir.

“Angka-angka dan ramalan memperlihatkan keupayaan kita untuk terus merancakkan ekonomi negara tetapi kita harus berhati-hati dan bersedia menghadapi kemungkinan berlaku keadaan yang memudaratkan pertumbuhan.

“Kerana itu tumpuan perlu diberi kepada pelaburan domestik sejajar dengan tumpuan dan harapan kita terhadap FDI,” katanya.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!