Pencuri sempat lari tinggalkan motosikal

Mohd Nazri (kiri) bersama seorang lagi rakannya menunjukkan motosikal yang ditinggalkan suspek dibawa ke rumah untuk pemeriksaan lanjut polis.
Mohd Nazri (kiri) bersama seorang lagi rakannya menunjukkan motosikal yang ditinggalkan suspek dibawa ke rumah untuk pemeriksaan lanjut polis.
A
A
A

SABAK BERNAM - Seorang lelaki yang ingin memecah masuk sebuah rumah warga emas nekad meninggalkan motosikalnya apabila kegiatannya itu dihidu penghuni rumah dalam kejadian di Kampung Sungai Pulai, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.05 pagi itu, suspek melarikan diri ke kebun kelapa sawit dan meninggalkan motosikal jenis Suzuki Nex, iaitu kira-kira 20 meter dari rumah berkenaan.

Seorang penduduk, Mohd Nazri Yusof, 36, berkata, dia dihubungi seorang adik lelakinya berusia 22 tahun yang menyedari terdapat seorang lelaki mencurigakan berlegar-legar di sekitar pekarangan rumah ibu mereka dan beberapa rumah penduduk berhampiran.

"Kejadian berlaku ketika saya bersama dua lagi rakan baharu pulang dari sebuah gerai nasi lemak di kampung ini.

"Kami yang menaiki kereta kemudiannya terus menuju ke arah rumah emak dan sebaik sampai kebetulan ternampak penduduk kampung mengejar suspek yang melarikan diri ke arah kebun kelapa sawit.

"Kami bertiga memberhentikan kereta dan turun dari kenderaan menyertai penduduk mengejar suspek, namun lelaki itu berjaya menghilang diri," katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan penduduk pada motosikal suspek menjumpai terdapat buku nota dan beg sandang di dalam tempat simpanan barang motosikal terbabit.

"Kami menemui nota tulisan tangan dipercayai mempunyai kaitan dengan beberapa kes kecurian yang dilakukan suspek sebelum ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, penduduk tidak menolak kemungkinan suspek dipercayai terlibat dalam beberapa kes kecurian sekitar kampung itu sejak seminggu lalu.

"Saya dan rakan mengesyaki suspek mengetahui selok belok kampung memandangkan banyak kes kecurian berlaku di sini," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Lim Chee Khoon mengesahkan kejadian itu dan masih menjalankan siasatan lanjut.

"Suspek tidak sempat melakukan kecurian di sebuah rumah didiami warga emas terbabit dan polis sedang berusaha mengesan suspek terlibat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!