KPDNHEP bongkar sindiket dakwat, katrij tiruan
KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) membongkar kegiatan sindiket dakwat mesin dan katrij tiruan dalam serbuan di sekitar Lembah Klang, semalam.
Serbuan bermula jam 4.30 petang dijalankan di lima buah premis di Kampung Kerdas, Sungai Besi, Taman Bukit Teratai, Taman Maluri, Pandan Indah.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP WPKL, Azeem Nazuri berkata, sebanyak 739 dakwat mesin pencetak dan katrij dipercayai tiruan melibatkan jenama Samsung, HP, Brother dan Canon dianggarkan bernilai RM78,674 telah dirampas.
Katanya, turut dirampas adalah satu set komputer serta beberapa mesin pencetak.
"Siasatan mendapati kesemua premis yang diserbu merupakan pusat operasi yang didalangi sindiket sama sejak setahun lalu.
"Modus operandi sindiket itu adalah membeli bekas dakwat mesin pencetak kitar semula yang tulen sebelum mengisikan dakwat tiruan yang dihasilkan oleh sindiket ke dalam bekas tersebut. Malah, bagi mengaburi mata pembeli, sindiket akan menampal pelekat jenama tertentu serta membungkus dakwat tiruan ke dalam bekas seakan-akan sama dengan barangan tulen," katanya dalam sidang akhbar di Stor Simpanan KPDNHEP WPKL di Jalan Segambut di sini, hari ini.
Azeem berkata, pihaknya percaya dakwat serta katrij tiruan itu dijual dengan harga lebih rendah lingkungan RM100 hingga RM250 seunit.
Katanya, dalam pada itu, pihaknya telah merekod keterangan seramai enam individu termasuk seorang wanita membabitkan pemilik serta pekerja premis.
"Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya.
Mengulas lanjut, berdasarkan statistik pada tahun ini, sebanyak 62 kes di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 dengan jumlah sitaan sebanyak 52,963 unit bernilai mencecah RM1.98 juta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!