Hasrat buka kafe lebur
ALOR SETAR - Impian seorang jurujual wanita dari Kuala Kedah di sini membuka kafe musnah apabila kerugian RM182,340 akibat diperdaya sindiket pinjaman wang tidak wujud melalui aplikasi WhatsApp.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superintendan Annuar Amri Abd Muluf berkata, jurujual telefon berusia 24 tahun itu membuat laporan polis semalam selepas menyedari ditipu sindiket pada Khamis lalu.
Menurutnya, wanita berkenaan menerima mesej melalui aplikasi berkenaan pada 2 Julai yang menawarkan pinjaman RM250,000 daripada seorang individu ketika berada di Jalan Pegawai, Alor Setar.
“Mangsa menerima mesej dari seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai ‘Kent’ yang mengaku sebagai ejen pinjaman wang dari sebuah syarikat bernama Agensi YMS.
"Syarikat tersebut menawarkan pinjaman wang sebanyak RM250,000 kepada mangsa yang berhasrat untuk memulakan perniagaan kafe di Alor Setar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, wanita itu menerima satu pesanan ringkas dari talian 62033 keesokan harinya yang menyatakan pinjaman mangsa diluluskan, bagaimanapun perlu membuat pelbagai bayaran ke dalam beberapa akaun bank sebagai wang proses sebelum wang pinjaman dimasukkan ke akaunnya.
"Mangsa dipercayai melakukan 14 kali transaksi ke dalam lapan akaun bank tempatan berbeza melalui pindahan wang secara dalam talian dan perkhidmatan kaunter bank selepas diarahkan ejen pinjaman wang itu. Dia menggunakan wang simpanan dan pinjaman rakan sekerja sebanyak RM182,340 demi membuat bayaran itu.
"Wanita itu kemudian ingin membatalkan pinjaman namun dimaklumkan perlu membuat bayaran berjumlah RM25,000, jika dia enggan kesemua wang mangsa tidak akan dipulangkan dan akan dibekukan oleh Bank Negara Malaysia," katanya.
Annuar berkata, mangsa membuat laporan polis apabila merasakan dirinya ditipu dan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
"Daripada Januari sehingga Jun 2019, sebanyak 171 kes melibatkan modus operandi yang sama telah dilaporkan di negeri ini membabitkan kerugian sebanyak RM1.1 juta," katanya.
Menurutnya, pihaknya mendapati berlaku peningkatan sebanyak 26 kes penipuan kes itu dalam tempoh sama berbanding pada tahun 2018.
"Orang ramai dinasihatkan tidak mudah terpedaya dengan mengabaikan iklan pinjaman wang yang ditawarkan melalui telefon atau aplikasi seperti WhatsApp dan Telegram.
"Orang ramai dinasihatkan membuat sekatan atau melaporkan nombor telefon yang menawarkan pinjaman wang tidak wujud ini kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk penamatan perkhidmatannya. Slain itu berurusanlah dengan penyedia perkhidmatan kewangan yang sah sahaja," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!