Sherry Alhadad mohon maaf menari lupa diri

Sherry Alhadad
Sherry Alhadad
A
A
A

PELAKON dan pengacara, Sherry Alhadad memohon maaf ekoran aksi menari keterlaluan ketika mengendalikan program Drop The Beat Extra yang disiarkan di TV3, baru-baru ini.

Jelas Sherry atau nama sebenarnya Sharifah Mariam Syed Abdullah Al-Hadad, 35, keinginan yang tinggi untuk menang membuatkan dia lupa diri.

"Ya, saya hanya sedar keterlanjuran saya selepas menonton kembali rakaman program berkenaan.

"Pada mulanya saya tergelak melihat aksi sendiri dan agak terkejut apabila mendapat perhatian netizen.

"Saya sebenarnya obses dengan rancangan RuPaul dan telah meresap roh Lip Sing For Your Life.

"Kadangkala saya pun lupa saya perempuan, lebih-lebih lagi saya stage actor (pelakon teater), jadi adakalanya apa yang saya buat kena exaggerate atau suka besar-besarkan.

"Tapi dalam masa yang sama, saya terlupa juga ini untuk tontonan awam.

"Kebetulan dah dua tahun berturut-turut kami kalah dengan lelaki, jadi saya fikir apa pun jadi kali ini saya nak menang. Itu yang sehingga lupa diri. Seronok sangat menari.

Artikel Berkaitan:

"Tapi apa pun saya nak mohon maaf kerana terlupa diri," jelasnya ketika ditemui semasa pelancaran filem televisyen (FTV) terbaharu lakonannya, Geng, semalam.

Sebelum ini nama Sherry hangat diperkatakan selepas aksi menari disifatkan keterlaluan oleh sesetengah penonton.

Menerusi rancangan Drop The Beat Extra, Sherry bertindak sebagai pengacara bersama Dennis Yin dan menjadi ketua kumpulan perempuan yang menampilkan Nabila Huda dan Ernie Zakri. Manakala Dennis menjadi ketua kumpulan lelaki, yang menampilkan Aman RA dan Sean Lee.

Sherry kemudiannya berlawan tarian bersama Dennis menerusi lagu Don’t Stop Me Now oleh Queen.

Enggan mengulas lanjut mengenai aksinya, Sherry berkata, apa yang diharapkan isu ini tidak akan diperbesar atau diperkatakan lagi selepas ini.

"Saya tak mahu ulas lanjut, lagipun ia dah berlaku. Cukuplah orang tahu saya sedar kesilapan saya dan saya mohon maaf.

"Saya juga harap isu ini tidak diperbesarkan lagi kerana ada yang lebih penting untuk diperkatakan," ujarnya.

Sementara itu, Sherry tampil dengan naskhah pertama terbitan produksinya, Perempuan Productions yang turut menyaksikan dia menjadi teraju utama bersama Lisa Surihani dan Nadiya Nisa.

Geng mengisahkan tiga sahabat baik Isabella, Mariam dan Anita yang memilih untuk membawa haluan masing-masing selepas tamat persekolahan.

Bagaimanapun suatu peristiwa telah membawa mereka mengembara ke sebuah negeri di utara tanah air sehingga menguji persahabatan mereka bertiga.

Bagi anda yang mahu menonton Geng, boleh berbuat demikian dengan membeli di saluran Astro First Eksklusif (480) bermula 18 Julai ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!