Bersatu sedia terima golongan artis: Ben Ali
KUALA LUMPUR - Selebriti, Ben Ali yang juga merupakan Exco Armada Bersatu, menyatakan tidak terkejut dengan penyertaan selebriti Datuk Norman Abdul Halim sebagai ahli seumur parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Menurutnya, selebriti juga berhak untuk memilih mana-mana parti politik yang mereka rasa sesuai untuk masa depan politik dan kebaikan negara.
“Bersatu amat mengalu-alukan barisan selebriti tempatan yang berminat untuk menyertai parti kami. Saya yakin lebih ramai yang mahu sertai Bersatu. Kalau ramai-ramai nak masuk pun tak ada masalah yang penting artis tersebut perlulah tahu apa perjuangan yang dibawa parti dan berpegang pada prinsip yang jelas.
“Jangan hanya masuk oleh kerana mahukan sesuatu demi kepentingan peribadi. Masuk dengan niat untuk menyumbang dan berkhidmat pada masyarakat terutamanya di dalam penambahbaikan industri hiburan negara. Kerana hanya melalui politik kita dapat mengubah sesuatu dasar,” katanya.
Ben atau nama sebenarnya Nur Ali Nadzwan, 29, berkata, Bersatu merupakan satu parti Melayu yang masih baharu dan segar.
“Kenapa Bersatu? Sebab bila kita mulakan sesuatu dari awal seperti parti Bersatu, banyak perkara yang kita dapat ubah yang mana tak dapat dilakukan di dalam sebuah parti yang sudah berabad lamanya dan sudah tepu.
“Bak kata pepatah ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Begitu juga dengan konsep parti Bersatu. Kami bekerjasama dari peringkat tertinggi sehingga la ke akar umbi. Nasihat diterima, kritikan diberikan oleh segenap peringkat usia. Namun masing-masing menghormati pandangan dan kritikan yang diberikan.
“Kalau parti Melayu yang lain belum tentu ada yang berani untuk tegur pimpinan tertinggi kerana takut hilang jawatan, pangkat dan sebagainya tetapi dalam Bersatu, kami meraikan perbezaan pendapat dan mengambilnya dari satu sudut yang positif demi kebaikan parti dan negara secara keseluruhannya,” kata lagi.
Menjelaskan peranan Bersatu untuk membantu anak-anak seni pula, Ben yang merupakan Biro Kebudayaan & Kesenian Bersatu berkata;
“Untuk industri seni pula, kalau tak silap saya. Bersatu satu-satunya parti yang mempunyai jawatan untuk golongan yang hadir dari industri hiburan melalui Biro Kesenian & Kebudayaan yang ditubuhkan khas oleh sayap pemuda Armada (Angkatan Bersatu Anak Muda).
“Gerak kerja telah dilakukan sejak sebelum PRU14 lagi demi untuk melakukan perubahan kepada industri hiburan tanah air yang seperti dianaktirikan dari dahulu lagi kerana industri ini selalu dilihat seperti tidak penting jika mahu dibandingkan dengan sektor-sektor lain yang dilihat lebih serius dan menjana pendapatan yang tinggi pada negara,” katanya.
Pada Selasa lalu, Norman telah menyahut seruan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad agar orang Melayu bersatu di bawah satu parti.
Oleh yang demikian, beliau telah menyerahkan borang penyertaan sebagai ahli seumur hidup Bersatu sehingga menarik perhatian ramai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!