PGA rampas 1.45 tan beras seludup
RANTAU PANJANG - Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan, mematahkan cubaan membawa masuk 1.45 tan beras seludup selepas berjaya memintas dan menahan sebuah lori berhampiran lampu isyarat Banggol Kulim di sini malam tadi.
Lori tersebut ditahan anggota pasukan khas PGA Batalion 7 pada jam 9.35 malam ketika melakukan rondaan rutin menggunakan motosikal di kawasan berkenaan.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi berkata, pasukannya turut merampas beras pulut seberat 150 kilogram yang dipercayai diseludup dari negara jiran untuk pasaran tempatan.
"Sejurus melihat lori yang dipandu dalam keadaan mencurigakan, anggota terus bertindak memintas dan menahannya.
"Sebaik sahaja memperkenalkan diri sebagai anggota PGA, pemandu lori berkenaan segera melarikan diri dan lolos dalam semak yang gelap," katanya.
Beliau berkata, kesemua beras termasuk lori dibawa pulang ke markas untuk siasatan lanjut.
"Kita akan serahkan barangan rampasan ini kepada pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk siasatan seterusnya.
"Kes disiasat bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967," katanya.
Azhari berkata, rampasan itu membabitkan nilai RM65,300 termasuk beras dan lori.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!