Berbaju Melayu tawan gunung berapi tertinggi Indonesia
SUNGAI PETANI - Seramai 13 pendaki Kelab Reaksi Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Abdul Halim (IPGKSAH) berjaya tawan gunung berapi tertinggi Indonesia, Jun lalu.
Penyelaras Program, Shahrul Izwan berkata, Gunung Kerinci dengan ketinggian 3,808 meter dari aras laut itu terletak di Sumatera berjaya ditawan biarpun setelah menempuh pelbagai cabaran.
Menurutnya, gunung berkenaan memiliki kawah berbentuk kerucut di mana kawah ini mempunyai air dengan warna hijau kekuning-kuningan.
"Satu pengalaman amat bermakna dan kejayaan ini menjadikan kami lebih bersemangat untuk terus melakukan pendakian di beberapa gunung terkenal yang lain.
"Sangat mencabar berada di atas kerana kami mudah penat akibat oksigen yang nipis ditambah dengan gas atau asap gunung berapi.
"Walaupun begitu, kami tidak melepaskan peluang bergambar dan menikmati kepuasan permandangan yang sangat cantik ditambah cuaca yang baik," katanya.
Lebih menarik, ada pendaki menyarungkan baju Melayu untuk bergambar sebagai kenang-kenangan.
Difahamkan, gunung berkenaan juga telah menjadi tumpuan pendaki seluruh dunia.
Katanya, pendakian itu juga merupakan siri ke-36 sejak kelab ditubuhkan pada 2016.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!