Mukhriz sudah sedia pikul tanggungjawab lebih besar
KUALA LUMPUR - Datuk Seri Mukhriz Mahathir, anak lelaki kepada perdana menteri bersedia untuk memikul tanggungjawab lebih besar namun tidak bercita-cita untuk mengikut jejak langkah bapanya.
"Saya terbuka dan ia sebenarnya bergantung kepada kepimpinan pada masa itu sama ada saya yang terbaik," katanya menerusi satu wawancara yang disiarkan portal berita dalam talian, Nikkei Asian Review hari ini.
Beliau yang kini menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Besar Kedah itu berkata, dirinya tidak mempunyai sebarang cita-cita untuk menjadi perdana menteri seperti yang dilakukan oleh orang lain.
"Saya tidak bercita-cita tinggi, saya tidak tetapkan bahawa saya mesti menjadi perdana menteri satu hari nanti seperti yang dilakukan oleh orang lain."
"Apabila dilihat satu keperluan untuk negara yang saya akan ditempatkan di peringkat persekutuan, saya bersedia dan dapat mengambil tanggungjawab itu," kata Ahli Parlimen Jerlun itu.
Mukhriz yang merupakan anak kelima kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali itu berkata, tiada sebarang usaha untuk menjadikan dirinya menjadi Perdana Menteri selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih jawatan itu daripada bapanya.
"Saya tidak akan cuba untuk mengangkat diri saya sendiri seolah-olah saya perlu menjadi perdana menteri satu hari nanti," ujarnya.
Mukhriz, 54, merupakan seorang ahli perniagaan sebelum bergiat aktif dalam UMNO dan pernah menjadi Timbalan Menteri Perdagangan dan Industri pada 2009 hingga 2013 sebelum dilantik sebagai Menteri Besar Kedah pada tahun 2013 hingga 2016.
Bagaimanapun, pada tahun 2016 beliau dan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah dipecat atas kesalahan serius kerana melanggar disiplin parti.
Beliau kemudian bersama bapanya menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan kini menjadi timbalan presiden parti itu yang berjaya mengalahkan Kerajaan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum Ke-14 tahun lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!