Sukar jual durian tanpa kulit: Peraih
SHAH ALAM - Menjual durian tanpa kulit adalah strategi sesetengah peniaga untuk melariskan jualan dan mendapatkan semula modal, namun ia tidak dapat dilakukan oleh semua peniaga durian.
Peraih durian, Mohd Azwan Hamuran, 38 berkata, kebiasaannya penjualan durian tanpa kulit dilakukan melibatkan durian kahwin seperti Musang King, D24 dan sebagainya memandangkan harganya yang lebih tinggi.
"Ini adalah antara salah satu cara yang digunakan oleh sesetengah peniaga untuk mendapatkan semula modal sekiranya durian tidak habis dalam beberapa hari. Jadi mereka kupas buah dan jual isinya sahaja.
"Tapi untuk saya sendiri jual durian tanpa kulit memang tidak boleh sebab bimbang akan ada yang kata buah yang saya jual itu sudah lama, jadi lebih baik jual seperti biasa," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.
Sebagai penjual durian kampung dari Sungkai Perak, beliau berkata penjualan tanpa kulit juga tidak mungkin dapat dilakukan memandangkan harga yang ditetapkan pemilik kebun durian adalah tinggi.
"Susah nak cakap sebab sekarang yang kawal harga pasaran bukan kami (peraih) tapi tuan tanah itu sendiri. Kalau dulu memanglah orang cakap beli durian boleh dapat harga RM2 hingga RM3 sekilogram, tapi sekarang dengan RM10 pun mungkin tak boleh beli sebiji durian walaupun di kampung orang asli.
"Sebagai peraih saya hanya dapat keuntungan RM1 daripada peniaga-peniaga di sekitar Kuala Lumpur, Klang, Pahang dan beberapa kawasan lain. Kalau kita minta kurang daripada orang asli ini, mereka tak akan jual kepada kita. Harga yang ada sekarang pun ramai pelanggan yang sudah 'bising', jadi bagaimana mahu jual durian tanpa kulit," katanya.
Bagaimanapun Mohd Azwan berkata, demi memberikan kepuasan kepada pelanggannya, dia akan menggantikan durian yang mengkal, tawar dan buruk kepada yang lebih baik.
"Saya sendiri hanya menjual buah yang masak, seandainya buah itu keras atau tawar boleh dipulangkan semula tapi kalau rasanya pahit, kurang manis, pahit atau warnanya tidak kuning, itu kita tidak boleh berbuat apa-apa.
"Perjalanan ke kampung orang asli itu memakan masa lebih kurang satu jam setengah dan setiba di sana kita terus angkat durian ke lori, jadi kita tidak tahu keadaan isi durian, tambahan pula kawasan durian itu berkeluasan ribuan ekar," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!