Tak pernah lihat harga sawit seteruk ini, kata Najib
A
A
A
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, harga sawit jatuh merundum dengan teruk berbanding tempoh sama pada tahun lalu.
“Satu angka rendah yang saya tidak pernah lihat selama sembilan tahun saya sebagai Perdana Menteri.
“Hari Sabtu lepas, saya telah membuat hantaran (kenyataan di Facebook) mengenai harga buah tandan segar (BTS) kelapa sawit yang jatuh dengan teruk.
“Malangnya, harga ini terus jatuh sebanyak 10 peratus lagi setelah turun setiap hari sejak minggu lepas,” katanya melalui perkongsian di Facebooknya hari ini.
Najib berkata, tahun lepas harga rasmi BTS gred C di Sabah sebanyak RM566 satu tan tetapi telah jatuh kepada RM349 satu tan minggu lepas. Semalam, harga ini jatuh lagi kepada RM311 satu tan.
“Lebih parah lagi ialah harga masih dijangka menurun dan tidak mustahil jika harga rasmi BTS jakan di bawah RM300 tidak lama lagi.
“Tolak kos racun, baja dan kos pekerja, pekebun masih ada untung lagi?,” soalnya.
[ARTIKEL BERKAITAN: Harga sawit jatuh: 700,000 ahli koperasi terjejas]
[ARTIKEL BERKAITAN: Najib henti kelirukan isu eksport minyak sawit]
[ARTIKEL BERKAITAN: Tangani segera krisis kelapa sawit]
Najib berkata, pada masa seperti inilah, sebuah kerajaan penyayang akan menambah bantuan kepada golongan seumpama ini.
“Tetapi PH melakukan sesuatu yang bertentangan. Bantuan bukan ditambah, sebaliknya dipotong hingga 50 peratus dan ada yang dihapuskan terus.
“Langsung tidak masuk akal,” katanya.
Najib memberitahu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub dan Kerajaan PH hanya berdiam diri selain mengeluarkan kenyataan mengeliru bahawa eksport ada kenaikan walaupun jelas eksport dan harga telah menurun dengan drastik selepas PRU14 berbanding tahun lepas.
“Berjuta ahli keluarga dari golongan pekebun kecil ini sedang merana ketika ini. Berjuta pekebun, peneroka, nelayan, kontraktor kecil dan peniaga kecil berdepan kesusahan pada masa yang amat mencabar hari ini,” katanya.
Najib menambah, pengumuman kerajaan untuk pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) semalam bagi suku ke 3 juga mengesahkan dengan rasminya bahawa sektor pertanian negara kini di dalam kemelesetan ekonomi setelah mengalami penyusutan KDNK untuk dua suku berturut bagi sektor ini
“Ekonomi luar bandar kini menghadapi tekanan sangat serious,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!