Pelajar Nigeria mati dalam tahanan Imigresen
SHAH ALAM - Seorang pelajar Universiti Lim Kok Wing, Cyberjaya yang berasal dari Nigeria mati dalam Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil dekat sini.
Difahamkan pelajar tersebut ditahan dalam satu operasi imigresen di kediamannya di Kondominium Desa Aman Puri, Kepong dua minggu lalu.
Menurut laman Twitter Universiti Lim Kok Wing, pelajar itu dikenali sebagai Orhions Ewansiha Thomas yang berusia 34 tahun.
Beliau merupakan pelajar PhD dalam bidang pengurusan.
Sementara itu, satu notis telah dikeluarkan oleh pihak pengurusan Universiti Lim Kok Wing memaklum bahawa semua kelas di universiti itu pada hari ini dibatalkan.
Notis itu menyebut, kelas-kelas akan berjalan seperti biasa pada hari Isnin ini.
Tiada sebarang alasan diberikan tetapi difahamkan ia mungkin ada kaitan dengan kekecohan ekoran kematian Thomas.
Dalam pada itu, sumber daripada Universiti Lim Kok Wing mengesahkan tentang kematian pelajar berkenaan namun tidak dapat memberikan butiran lengkap berhubung kematian itu.
"Kami mengesahkan kematian Thomas tetapi setakat ini tiada sebarang maklumat lain," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Difahamkan, Jabatan Imigresen akan mengeluarkan kenyataan berhubung kematian itu dalam waktu terdekat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!