Kelengkapan sekolah bukan barang kawalan, namun tetap dipantau

Azman Adam
Azman Adam
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor menjelaskan barangan dan kelengkapan sekolah tidak termasuk dalam skim barangan harga kawalan.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Selangor, Azman Adam berkata, namun peniaga barang kelengkapan sekolah yang mengambil kesempatan dengan menaikkan harga secara melampau di awal musim penggal persekolahan dibuka tetap boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga.

"Harga bagi kelengkapan sekolah kita tak kawal walaupun ketika musim pra persekolahan dibuka, sebelum ini pun kita tak pernah buat skim kawalan harga untuk kawal harga bagi kelengkapan sekolah.

"Namun, jika ada aduan atau berlaku sebarang kenaikan melampau, kita tetap akan ambil tindakan bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan.

"Selain aduan awam, pihak KPDNHEP tetap melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi mengelakkan peniaga mengambil kesempatan di musim tertentu," katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, Azman mengingatkan kepada pembekal dan peniaga barangan kelengkapan sekolah agar tidak mengambil kesempatan menjelang penggal persekolahan dibuka bagi mengelak dikenakan tindakan.

"Walaupun bukan barang kawalan, kita tetap melakukan pemantauan harga secara berkala. Jika didapati melakukan kesalahan, kita tidak teragak-agak untuk mengeluarkan notis dan mengenakan tindakan terhadap peniaga.

"KPDNHEP juga menasihatkan orang ramai untuk membuat aduan jika terdapat pihak yang menaikkan harga secara melampau bagi barangan kelengkapan sekolah dalam tempoh ini sehingga musim persekolahan dibuka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan rungutan dalam kalangan ibu bapa yang rata-rata mendakwa harga barang kelengkapan sekolah yang dikatakan mahal sehingga perlu berjimat untuk menyediakan kelengkapan persekolahan bagi anak-anak mereka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!