Imigresen sahkan pelajar PhD warga Nigeria mati dalam tahanan

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Imigresen hari ini mengesahkan seorang pelajar ijazah kedoktoran warga Nigeria ditemui mati ketika dalam tahanan jabatan itu, 9 Julai lalu.

Ketua pengarahnya, Khairul Dzaimee Daud berkata, lelaki itu ditahan ketika serbuan pihaknya di Desa Aman Puri, Kepong, pada malam 4 Julai lalu, susulan aduan yang mendakwa kebanjiran warga Afrika di sana mengganggu penduduk setempat, lapor Malaysiakini.

Beliau berkata, ketika itu sekumpulan warga Afrika di beberapa kedai dan sekitar aras bawah blok pangsapuri bertindak melarikan diri dan tidak memberi kerjasama ketika pemeriksaan pegawai operasi.

"Subjek juga telah melarikan diri namun berjaya ditahan, dia kemudian mengemukakan pasport dan semakan mendapati dia memiliki pas pelajar yang masih berlaku (sah).

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar Nigeria mati dalam tahanan Imigresen

"Tindakannya melarikan diri menimbulkan keraguan terhadap ketulenan pas pelajar," katanya, dan berkata lelaki itu dikenakan tahanan selama 14 hari untuk siasatan lanjut.

Lelaki itu, katanya lagi, ditahan di Depot Imigresen Bukit Jalil bersama 20 orang lain yang ditahan keesokannya, dan dilayan secara berhemah dan mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Katanya, kira-kira jam 12.05 tengah malam 9 Julai, pegawai bertugas dimaklumkan tahanan lain bahawa lelaki itu diserang sawan ketika tidur.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan pemeriksaan dan rawatan serta-merta diambil Unit Rawatan Khas dan telah menghubungi Hospital Universiti Kebangsaan malaysia (HUKM).

"Ambulans HUKM tiba pada pukul 12.30 malam dan terus melakukan pemeriksaan dan bantuan, namun subjek disahkan meninggal dunia," katanya dan memaklumkan laporan polis dibuat susulan kejadian itu.

Sinar Harian hari ini melaporkan seorang pelajar Universiti Lim Kok Wing, Cyberjaya yang berasal dari Nigeria mati dalam Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil dekat sini.

Menurut laman Twitter Universiti Lim Kok Wing, pelajar itu dikenali sebagai Orhions Ewansiha Thomas, 34 tahun.

Satu notis telah dikeluarkan oleh pihak pengurusan Universiti Lim Kok Wing memaklum bahawa semua kelas di universiti itu pada hari ini dibatalkan.

Notis itu menyebut, kelas-kelas akan berjalan seperti biasa pada hari Isnin ini.

Tiada sebarang alasan diberikan tetapi difahamkan ia mungkin ada kaitan dengan kekecohan ekoran kematian Thomas.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!