Tajuddin berjaya batalkan saman Tony Pua, Anthony

Tajuddin Abdul Rahman
Tajuddin Abdul Rahman
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berjaya dalam permohonannya membatalkan saman fitnah yang dikemukakan Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua Kiam Wee dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berhubung dakwaan DAP cuba menghapuskan sistem raja-raja di Malaysia.

Ia susulan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam membenarkan permohonan beliau mengetepikan saman tersebut dalam satu prosiding dalam kamar Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Seri Latifah Mohd Tahar.

Prosiding itu turut dihadiri peguam Datuk Hasnal Rezua Merican dan Farhan Haziq Mohamad.

ARTIKEL BERKAITAN: Keputusan permohonan Tajuddin batal saman Tony, Anthony didengar 12 Julai

Farhan Haziq yang mewakili plaintif, iaitu Anthony dan Tony Pua ketika ditemui di luar mahkamah, berkata, mahkamah berpendapat plaintif tidak nyatakan dalam pernyataan tuntutan bahawa defendan menyebabkan penerbitan kenyataan fitnah itu.

Peguam Farhan Haziq - Foto SHARIFUDIN ABD RAHIM
Peguam Farhan Haziq - Foto SHARIFUDIN ABD RAHIM

“Permohonan defendan (Tajuddin) dibenarkan kerana mahkamah berpendapat bahawa plaintif gagal membuktikan elemen fitnah dalam ucapan Tajuddin. Saman ditolak tanpa kos," katanya.

”Saya perlu mendapatkan arahan anak guam sama ada untuk merayu keputusan atau memfailkan semula," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tajuddin memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu pada 8 Mei lalu atas alasan kata-kata yang diajukannya tidak merujuk kepada jawatan atau profesion yang dijawat oleh plaintif ketika tohmahan lisan itu dibuat.

Tony Pua adalah Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng manakala Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban memfailkan saman itu terhadap Tajuddin pada 20 Mac susulan ucapannya di Kampung Jawa pada malam sebelum Pilihan Raya Kecil Parlimen Sungai Kandis pada 3 Ogos tahun lalu.

Plaintif menyatakan, dalam ucapan tersebut Tajuddin mendakwa mereka adalah penganut Kristian bersama rakan mereka dalam DAP berusaha untuk bukan sahaja menyebarkan agama itu tetapi juga menghapuskan raja-raja Melayu.

Tajuddin juga didakwa mengatakan mereka berusaha menubuhkan sistem pemerintahan seperti di Singapura yang mana tidak memiliki raja atau sultan.

Ucapan defendan dilaporkan di laman web berita Malaysiakini pada hari yang sama ucapan itu dibuat dengan tajuk "Tajuddin fires 'Christian DAP' salvo to close BN's Sg Kandis campaign" dikongsikan sebanyak 9,400 kali di alam maya dan dibaca oleh orang awam secara meluas.

Dalam penyataan tuntutan mereka, Plaintif mendakwa kenyataan Defendan menggambarkan mereka tidak menjalankan tugas mereka sebagai menteri dan Ahli Parlimen dan sebaliknya menggunakan kedudukan mereka untuk memperjuangkan agenda politik peribadi.

Mereka mereka mendakwa perkataan-perkataan yang diungkapkan defendan adalah satu ucapan berniat jahat untuk menjatuhkan reputasi mereka dalam bidang politik termasuk parti politik yang dianggotai mereka apatah lagi ucapan itu diungkapkan kepada umum semasa kempen pilihan raya kecil itu.

Sehubungan l itu, kedua-dua plaintif menuntut satu injunksi menyekat defendan sama ada ejen-ejennya daripada menerbitkan, menyambung atau menyebabkan penerbitan perkataan-perkataan yang sama dalam apa-apa bentuk, rupa atau media sosial, digital atau sebaliknya.

Mereka turut menuntut injunksi mengarahkan defendan membuat permohonan maaf secara terbuka dan menerbitkan permohonan maaf tersebut dalam surat khabar berbahasa Melayu termasuk semua platform media sosial milik defendan selain menuntut ganti rugi am untuk libel, ganti rugi keterlaluan dan ganti rugi teladan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!