Lelaki samun pasaraya diberkas polis

Kegiatan suspek berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV).
Kegiatan suspek berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV).
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kegiatan samun pasaraya mini yang dilakukan dua lelaki berjaya dilumpuhkan selepas polis memberkas salah seorang daripada mereka di sekitar Bandar Tun Razak di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, tangkapan dibuat sekitar jam 1 petang dan suspek berusia 25 tahun yang mempunyai satu rekod dadah itu kini sedang direman empat hari sehingga Ahad ini.

Menurutnya, siasatan mendapati suspek aktif melakukan kegiatan itu di kawasan Cheras sejak awal tahun bersama seorang lagi rakannya yang masih diburu.

"Geng ini akan masuk ke dalam pasaraya mini dengan menggunakan topi keledar dengan visor (pelindung muka) gelap serta bersenjatakan pisau.

"Salah seorang daripada mereka akan tunggu di motosikal, manakala seorang lagi akan masuk dan mengambil wang tunai serta rokok. Mereka ini aktif pada awal pagi sekitar jam 4 hingga 6 pagi," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati terdapat empat kes dilaporkan berlaku di daerah Cheras yang dipercayai dilakukan geng ini dan polis masih menyiasat pembabitan suspek dengan kes lain.

Katanya, usaha memburu seorang lagi rakan suspek masih giat dijalankan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, polis menasihatkan pemilik atau penjaga premis untuk berhati-hati dengan kehadiran individu yang memakai topi keledar dengan pelindung muka gelap yang memasuki ke dalam premis.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!