Patuh arahan hingga abaikan ibadah
Jemaah terpaksa patah balik tempuh perjalanan jauh kerana 'tercicir' melontar jamrah
PADA usia 63 tahun, tertulis rezeki buat Pak Dolah (bukan nama sebenar) untuk mengerjakan Rukun Islam ke-5 iaitu menunaikan haji bagi yang berkemampuan. Beliau memilih untuk mengikut pakej.
Usai mengikuti kursus haji ditetapkan, tiba hari yang dinantikan. Beliau sampai di Makkah dengan pakaian ihram dan menerima layanan baik daripada pihak pengendali. Penerangan dan bimbingan diberikan juga sempurna sepertimana yang diharapkan.
Hingga pada pagi 10 Zulhijah, rombongan Pak Dolah tiba di Mina. Sejak awal subuh lagi, beliau dan para jemaah diarahkan supaya membawa 10 biji batu yang dikutip di Muzdalifah untuk melontar di Jamratul Kubra.
Pada masa sama, pegawai pakej turut meminta semua jemaah agar mengikut arah bendera yang dipegang oleh ketua bagi mengelakkan jemaah tersesat.
Seperti yang dijangka, keadaan di jamrah memang padat. Masing-masing sibuk melontar di Jamratul Aqabah bagi membolehkan mereka gunting rambut sekali gus terlepas daripada larangan ihram atau disebut sebagai Tahallul Awal.
Sebelum melontar, jemaah kumpulan Pak Dolah terpaksa meredah perjalanan sejauh 3.5 kilometer (km) dan melalui terowong untuk melontar di jamrah.
Tatkala menghampiri Jamratul Aqabah, pembawa bendera tidak terus ke jamrah. Sebaliknya, menyimpang sedikit ke kawasan lebih lapang. Tujuannya untuk memberi peluang kepada para jemaah untuk melontar jamrah.
Keliru
Malangnya, Pak Dolah seakan tidak faham. Beliau setia bersama si pemegang bendera. Selepas selesai melontar jamrah dan bertahalul, maka pulanglah rombongan kumpulan Pak Dolah dengan berjalan sejauh 3.5km lagi.
Salah seorang jemaah perasan akan kelakuan Pak Dolah dan menegurnya secara 'berlapik'.
"Pak cik sudah melontar ke belum? Saya lihat pak cik asyik berdiri di sebelah pembawa bendera sahaja," tanya jemaah tadi.
Pak Dolah hanya menggeleng sambil menjawab, beliau hanya mengikut arahan yang diberikan oleh pembimbing agar tidak meninggalkan pembawa bendera.
Jemaah tadi kemudian menerangkan bahawa melontar merupakan salah satu perkara wajib haji dan menjelaskan mengenai tahalul.
Pemuda tadi kemudiannya memaklumkan kepada seorang pembimbing. Beliau kasihan melihat Pak Dolah. Sudahlah ketika itu Pak Dolah telah menukar pakaian ihram.
Pembimbing kemudian menasihati Pak Dolah. Pada waktu malamnya, Pak Dolah dibawa seorang pembimbing untuk melontar dan bergunting rambut.
Ini bermakna, Pak Dolah terpaksa meredah perjalanan 7km untuk pergi dan balik semata-mata untuk melontar kerana kecuaiannya tadi. Itu belum lagi kesukaran yang terpaksa dihadapi untuk berasak-asak dengan jemaah lain.
Ketika ini, timbul rasa penyesalan dalam hatinya kerana tidak peka dengan hal itu.
Akhirnya, berjaya juga Pak Dolah menyempurnakan salah satu syarat wajib haji. Mutawif juga meminta Pak Dolah membayar dam kerana memakai pakaian berjahit sebelum melontar dan bergunting rambut untuk bertahalul.
(Sumber: Datuk Md Daud Che Ngah)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!