Imigresen nafi tahan warga Nigeria secara tidak sah
KUALA LUMPUR - Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) menafikan laporan yang mendakwa pihaknya telah menahan seorang lelaki warga Nigeria secara tidak sah sehingga menyebabkan tahanan itu maut di Depot Imigresen Bukit Jalil (DIBJ) pada Selasa lalu.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, lelaki berkenaan Thomas Orhions Ewansiha ditahan pihaknya menerusi Op bersepadu Jabatan Imigresen Kuala Lumpur di kawasan Aman Puri di sini pada 4 Julai lalu.
Menurutnya, ketika serbuan itu dijalankan, terdapat segelintir warga Afrika berada di beberapa kedai makan dan di sekitar kawasan pangsapuri berkenaan telah melarikan diri termasuk suspek.
“Berikutan kejadian itu, sebanyak 20 individu termasuk lelaki tersebut telah ditahan dan pemeriksaan lanjut ke atasnya mendapati dia masih memiliki pas pelajar yang masih sah.
“Bagaimanapun, tindakan lelaki tersebut melarikan diri menyebabkan keraguan akan ketulenan pas pelajar yang dimiliki dan dia disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56 (1)(I) sebelum ditahan mengikut Seksyen 51 (5)(b) Akta Imigresen 1959 dan 1963 selama 14 hari bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Khairul Dzaimee memberitahu, kesemua Orang Kena Tahan (OKT) termasuk lelaki tersebut kemudiannya telah di bawa ke pejabat Imigresen Kuala Lumpur untuk proses dokumentasi dan semasa proses itu berjalan dia telah diberi rawatan asas oleh Jabatan Pertahanan Awam Malaysia kerana terdapat luka lama di betis kanannya namun tidak memaklumkan sebarang penyakit yang dihadapi.
*Susulan daripada itu, kesemua OKT telah di hantar ke DIBJ kira-kira pukul 12 tengah hari pada 5 Julai lalu mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan layanan yang berhemah oleh pegawai Imigresen bertugas.
“Namun, pada kira-kira pukul 12 tengah malam Selasa lalu pegawai bertugas telah dimaklumkan oleh tahanan lain Orhions Ewansiha terkena sawan secara tiba-tiba ketika sedang tidur.
“Pemeriksaan dan rawatan segera telah dilakukan oleh Unit Rawatan Khas sebelum menghubungi Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk meminta bantuan,” katanya.
Khairul Dzaimee menambah, pihak HUKM kemudiannya tiba kira-kira pukul 12.30 tengah malam dan terus melakukan pemeriksaan sebelum Orhions Ewansiha disahkan meninggal dunia.
“Sejurus itu, satu laporan polis telah dibuat pegawai penyelia dan pegawai bertugas di Balai Polis Bukit Jalil memaklumkan mengenai kejadian.
“Pada masa ini, pihak kita masih lagi menunggu laporan penuh kesihatan dan bedah siasat Orhions Ewansiha bagi mengetahui punca kematiannya,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar Nigeria mati dalam tahanan Imigresen
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!