Suspek langgar Haziq dah hubungi saya: Linda EVA
PENYANYI, Linda EVA memberitahu suspek yang melanggar anaknya, Haziq, 19, pada Jumaat lalu sudah pun menghubunginya sekali gus memohon maaf.
Bagaimanapun, Norhaslinda Ishak, 42, berkata, biarpun dia tidak menyimpan rasa marah namun dia menyerahkan segala urusan lanjut kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.
"Secara peribadi saya tak ada masalah dan suspek berkenaan sudah pun menghubungi saya meminta maaf.
"Tapi untuk tindakan selanjutnya saya serahkan kepada pihak polis dan peguam sahaja," ujarnya kepada Sinar Harian ketika dihubungi sebentar tadi.
Sementara itu, Haziq atau nama penuhnya Muhammad Haziq Hasbullah, yang cedera parah akibat dilanggar kereta yang dipandu laju dari arah belakang ketika dalam perjalanan ke Bukit Jalil, kini dirawat di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Kuala Lumpur.
"Hari ini Haziq baru sahaja ditambah darah dan setakat ini sudah masuk tiga beg darah. Tempoh hari sewaktu kemalangan, menurut doktor dia kehilangan lebih dua liter darah," kata Linda.
Ditanya adakah selepas ini Linda akan membenarkan putera kesayangannya itu membonceng motosikal lagi, ini pintanya.
"Memang tak bagi, dari dulu lagi selepas kejadian serupa saya tak benarkan. Tapi mungkin dia seorang yang jenis yang tak serik," katanya tegas.
Dalam pada itu, Linda turut memberikan sepatah dua pesan kepada remaja di luar sana.
"Kepada anak-anak di luar sana perkara ini kejadian yang tak disangka dan diduga. Pastinya semua ibu bapa memberikan pesan sama, jangan keluar malam. Ada sebabnya, pada malam hari jalan raya lengang malahan kereta laju-laju, yang bawa motosikal tentu ada risikonya.
"Oleh itu, anak-anak perlu tukar rutin dan ada masa serta hadnya untuk keluar, malam tu duduk sahajalah di rumah.
"Kalau sudah jadi macam ini mak bapa juga yang susah, tak ada orang lain, sebab mak bapa banyak kerja lain nak buat selain cari duit makan untuk anak-anak. Sebelum terjadi beringat dan berubahlah," luahnya.
Ekoran kejadian, Linda terpaksa mengambil cuti bagaimanapun tidak dapat bercuti panjang dek kerana perlu menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ibu tunggal kepada empat anak.
"Projek terbaharu belum ada tapi saya tak boleh cuti panjang sebab kehidupan perlu diteruskan untuk jaga kebajikan anak-anak. Saya dah bersedia untuk mula bekerja," tuturnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!