DBKL roboh lapan struktur tambahan haram
KUALA LUMPUR - Lapan struktur tambahan dan dua buah premis yang didirikan tanpa kebenaran di Jalan Walter Granier, Bukit Bintang dirobohkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini.
Unit Media DBKL memaklumkan tindakan roboh dan notis akujanji dikeluarkan berikutan pemilik melakukan kesalahan di bawah Seksyen 46, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
Menurutnya, Operasi Roboh Struktur Haram itu melibatkan Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Elektrikal, Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Penjaja.
Turut serta dalam operasi itu wakil Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan anggota polis.
“Tindakan diambil kerana pengusaha mendirikan struktur tanpa kebenaran DBKL.
“Kami ingatkan pemilik supaya dapatkan kelulusan sebelum membina apa-apa struktur bagi mengelakkan dari dikenakan tindakan penguatkuasaan,” katanya.
Sementara itu dalam perkembangan lain DBKL memaklumkan, sisa pokok yang tumbang menghempap sebuah lori dan pagar tempat letak kereta di Pasar Borong Selayang, Rabu lalu telah dialihkan dan dibersihkan pihaknya.
Ketika kejadian tersebut enam batang pokok jenis kaya tumbang dan merosakkan sebuah lori serta pagar di kawasan tersebut.
“Kejadian pokok tumbang berlaku berikutan hujan lebat dan angin kencang petang Rabu lalu.
“Kerja-kerja pemotongan dan pembersihan pokok tumbang telah dilaksanakan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!