SEREMBAN - Seorang pesara tentera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak angkatnya, berusia 17 tahun pada 6 Julai lepas. Tertuduh berumur 64 tahun membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Junaidah Mohd Isa. Lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas anak angkatnya di sebuah rumah di Bandar Springhill, Rantau kira-kira 9 malam 6 Julai. Dia dituduh di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan. Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norshazwani Ishak tidak menawarkan jaminan, bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam Joseph Mathews merayu agar ikat jamin rendah diberikan dengan alasan tertuduh menghidap sakit jantung dan kencing manis. Junaidah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan diperintahkan melapor diri setiap 15 hari bulan di balai polis berhampiran serta menetapkan 19 Ogos ini untuk sebutan semula kes. Junaidah turut mengarahkan tertuduh dan keluarga tertuduh tidak menghampiri dan berkomunikasi dengan mangsa. Pada 6 Julai lalu, polis menahan lelaki warga emas yang disyaki mencabul anak angkatnya sejak setahun lepas, selepas remaja itu membuat laporan polis. Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supt Aidi Sham Mohamed berkata perlakuan sumbang itu terbongkar selepas mangsa menceritakan kejadian itu kepada guru sekolah sebelum dibawa membuat laporan polis. - Bernama