Puteri Umno persoal keadilan mangsa rogol
SHAH ALAM - Puteri UMNO mempersoalkan keadilan untuk pembantu rumah warga Indonesia yang mendakwa di rogol majikannya yang juga Exco Kerajaan Perak apabila pemimpin daripada DAP itu dilihat bebas bergerak meskipun berdepan tuduhan berat.
Ketuanya, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, beliau juga turut berasa malu apabila kelakuan tidak bermoral dikaitkan dengan pemimpin kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu turut mendapat perhatian rakannya di Indonesia.
"Apa pula nasib dan pembelaan kepada kaum wanita yang menjadi mangsa rogol tempoh hari?. Hari ini media melaporkan suspek jalani tugas seperti biasa, bebas bergerak ke sana sini seperti tiada apa yang berlaku.
"Apa nak jadi pada sistem keadilan negara kita di era Kerajaan PH hari ini?. Suspek rogol boleh ke sana sini seolah seolah kebal daripada undang-undang," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, media melaporkan seorang pembantu rumah warga Indonesia lingkungan 20-an membuat laporan polis 9 Julai lalu mendakwa dirogol majikannya yang juga seorang Exco Kerajaan Perak.
Difahamkan, mangsa membuat laporan polis sehari selepas kejadian itu di sebuah rumah di Meru, Jelapang, Perak.
Sementara itu, Exco Kerajaan Perak dikaitkan dengan siasatan kes itu dibebaskan dengan jaminan polis.
Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, tangkapan terhadap ADUN itu dilakukan susulan laporan polis yang diterima.
"Polis membuat tangkapan terhadap Exco berkenaan semalam (kelmarin) dan juga membuat pemeriksaan doktor terhadap suspek bagi tujuan siasatan," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Rogol pembantu rumah, Exco Perak ditahan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!