Siti Hasmah sambut ulang tahun kelahiran ke-93 dengan gesekan biola amal

Isteri Perdana Menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali mempersembahkan alunan gesekan biola pada majlis Minum Petang Amal Yayasan Universiti Multimedia di universiti itu hari ini. - Foto Bernama
Isteri Perdana Menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali mempersembahkan alunan gesekan biola pada majlis Minum Petang Amal Yayasan Universiti Multimedia di universiti itu hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

CYBERJAYA - Isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-93 hari ini dengan alunan gesekan biolanya untuk acara amal pada Minum Petang Amal Yayasan Universiti Multimedia (YUM).

Kelunakan gesekan biolanya membawa lagu 'Secret Garden - The Things You Are To Me', 'Gubahanku' dan 'Terkenang-kenang' memukau kira-kira 450 tetamu semasa persembahan yang berlangsung 15 minit di dataran Multimedia University (MMU) di sini.

Sebelum mempersembahkan lagu keroncong 'Terkenang-kenang' Tun Dr Siti Hasmah berkata: “Ini adalah sebuah lagu lama dan sepanjang masa yang dinyanyikan oleh Kartina Dahari. Saya mainkannya dengan sepenuh hati.”

Selepas persembahannya, sebuah kek dipersembahkan kepada beliau dan semua hadirin mengalunkan lagu ‘Happy Birthday' kepada beliau.

Semasa majlis itu, Dr Siti Hasmah juga melancarkan Dana Anugerah Pengetahuan YUM, satu platform bagi mendapatkan lebih banyak lagi dana anugerah daripada individu dermawan dan pertubuhan korporat.

Semasa ucapannya, Dr Siti Hasmah yang hampir menitiskan air mata dengan sambutan sebegitu rupa berkata, beliau terasa dihormati dan terharu dengan para dermawan pada majlis amal YUM ini.

Mengimbau kembali saat-saat menjadi canselor MMU yang pertama selama 15 tahun dari 1997 hingga 2012, Dr Siti Hasmah berkata: “Semasa pertama kali dipilih sebagai canselor pertama, saya agak terperanjat kerana saya tidak tahu apa-apa mengenai Teknologi Maklumat (IT). Malahan saya tidak faham mengenai IT dan dijadikan pula sebagai canselor.”

Beliau berkata, kini para pelajar di MMU diambil bekerja ‘di mana-mana di seluruh dunia’ dan mereka adalah 'permata dunia'.

Artikel Berkaitan:

“Setiap kali ke luar negara akan ada seseorang yang menghampiri dan berkata, Tun, saya dari MMU,” katanya.

Sambil menasihati komuniti MMU agar terus bekerja kuat tanpa mengenal penat, beliau secara berjenaka berkata: ‘umur bersara ialah 95 tahun’. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!