KPDNHEP ambil langkah jelas subsidi petrol bersasar
JITRA - Pemegang taruh dan pihak media antara kelompok awal yang akan diberikan penjelasan mengenai mekanisme pelaksanaan subsidi petrol 95 bersasar yang bakal dilaksanakan pada hujung tahun ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, usaha itu perlu bagi memberikan pemahaman awal sebelum maklumat tersebut disampaikan kepada rakyat di negara ini.
"Perkara tersebut dilakukan bagi memastikan rakyat akan mendapat maklumat yang terkini dan sahih mengenai pelaksanaan subsidi bersasar itu.
"Saya telah berjumpa dengan kumpulan senior-senior pengarang media untuk sama-sama membantu bagi memberikan penerangan kepada masyarakat dan sesi ini akan bermula dalam masa terdekat ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pelancaran dan Perasmian Euro5 Diesel Autospa dan Tealive di di Stesen BHP dekat sini petang tadi.
Beliau berkata, antara pemegang-pemegang taruh yang bakal terlibat adalah persatuan pengguna, pengusaha stesen minyak, syarikat minyak dan agensi seperti Bank Negara Malaysia, Jabatan Perangkaan dan Kastam.
Dalam pada itu, beliau turut menyokong usaha pemilik syarikat yang menggabungkan perkhidmatan ataupun perniagaan lain.
"Di negara ini terdapat kira-kira 3,500 stesen minyak dan masing-masing mewujudkan persaingan yang baik untuk menjadikan stesen minyak sebagai premis yang baik.
"Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mahu melihat persaingan yang baik ini sentiasa ada selain tampil dengan kreativiti dan tawaran-tawaran menarik," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!