Burung lang berjambul, lapan landak raya dirampas
JOHOR BAHRU - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor merampas seekor burung lang berjambul dan lapan ekor landak raya dalam serbuan di sebuah rumah di Kulai, Rabu lalu.
Pengarahnya, Salman Saaban berkata, dua spesies haiwan diselamatkan berkenaan adalah haiwan yang dilindungi.
“Serbuan dilakukan kira-kira jam 1 petang oleh sepasukan anggota penguatkuasa di sebuah rumah hasil maklumat orang awam.
“Pemeriksaan kemudiannya mendapati seekor burung lang berjambul dan lapan ekor landak raya disimpan di belakang rumah tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.
Salman berkata, siasatan mendapati bahawa semua hidupan liar yang disimpan itu tanpa sebarang dokumen kelulusan daripada Jabatan Perhilitan.
“Burung lang berjambul adalah spesies dilindungi. Kami percaya ia boleh dijual dengan harga RM500 hingga RM1,000 berdasarkan saiz dan jenis.
“Landak pula adalah spesies berlesen, ia boleh dibiakkan dan dijual mengikut peraturan ditetapkan. Kebiasaannya ada had umur kita telah tetapkan,
"Seekor landak dewasa dengan induknya boleh dijual dengan harga RM3,500 hingga RM5,000 mengikut pasaran semasa," katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
"Rakaman percakapan seorang lelaki berusia 55 tahun juga telah diambil yang mana berkemungkinan boleh disaman sekiranya dibuktikan bersalah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!