Beri ruang parti politik masuk IPT

Mohamad memalu gong sebagai gimik perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Bharu di Bangunan UMNO negeri hari ini.
Mohamad memalu gong sebagai gimik perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Bharu di Bangunan UMNO negeri hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - UMNO berharap kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pendidikan memberi kelonggaran kepada parti politik di negara ini untuk memberi penerangan mengenai demokrasi kepada penuntut di institusi pengajian tinggi (IPT).

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, langkah tersebut adalah selaras dengan penurunan had umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun yang akan diputuskan kerajaan nanti.

"Ini tugas berat bagi UMNO dan mana-mana parti politik sebab pengundi atas 21 tahun sudah memahami dan matang mengenai politik dan demokrasi, berlainan dengan 18 tahun yang masih di kolej dan universiti.

"Kita tidak tahu sama ada mereka ini memahami atau tidak erti demokrasi dan politik, sebab itu kita perlu dekati mereka dan beri pemahaman.

"Kita harap kita dapat kerjasama daripada pihak kerajaan untuk mendapatkan kelonggaran masuk ke kampus dan kolej untuk kita beri penerangan mengenai perkara tersebut," katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Kali ke-25 Tahun 2019 UMNO Bahagian Kota Bharu di Bangunan UMNO negeri di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Timbalannya, Tan Sri Mohamad Fatmee Che Salleh; Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan serta seluruh kepimpinan tertinggi UMNO negeri, MCA dan MIC Kelantan.

Takiyuddin (lima dari kanan) diberi penghormatan untuk berada di pentas bersama kepimpinan UMNO pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Bharu.
Takiyuddin (lima dari kanan) diberi penghormatan untuk berada di pentas bersama kepimpinan UMNO pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Bharu.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam Wacana Sinar Harian berkata, susulan penurunan had usia mengundi, dianggarkan jumlah pengundi akan bertambah sebanyak 500,000 setiap tahun dengan jangkaan 21 juta pemilih pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, sebaik sahaja isu had umur itu diputuskan di peringkat Parlimen, maka gerak kerja parti-parti politik juga akan bermula iaitu untuk mendekati anak-anak negara ini.

"Kita mahu beri semaksimum yang mungkin pemahaman kepada mereka. Politik ini tiada jaminan, politik ini boleh jadi pelbagai kemungkinan. Kita tidak tahu sama ada anak muda bersama kita atau mungkin tidak.

"Dari segi jentera pula, kita tidak mempunyai masalah dan ia mesti digerakkan dengan baik," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!