Kata akhir Aliff Aziz andai hari terakhir
"SAYA mohon maaf," pinta penyanyi Aliff Aziz kepada bekas isteri Bella Astillah dan anak sulungnya, Mohamad Ayden Adrean yang kini berusia dua tahun.
Aliff meluahkan isi hatinya apabila ditanya oleh Ustaz Ebit dalam satu temu bual eksklusif di kediaman Aliff di Singapura dan rakaman video itu telah dikongsi menerusi YouTube.
Soalan Ustaz Ebit, andai hari ini menjadi hari terakhirnya.
Menurut Aliff, tiada yang lebih penting selain memohon kemaafan kepada dua insan tersebut kerana sepanjang perkahwinan dia seharusnya dapat memberikan yang terbaik.
"Setiap manusia ada baik buruknya. Walaupun bekas isteri pernah maafkan namun dari hati hati yang kecil ini saya mohon maaf dan mendoakan dia semoga berjaya serta mendapat kebahagiaan yang seharusnya.
"Manakala Ayden Adrean, sayangilah mak terutamanya, benda yang baik tentang daddy ambillah dan yang tak baik jadikan tauladan," luahnya bergenang air mata.
Dalam sesi bersama Ustaz Ebit, Alif turut mengakui sedang berdepan dengan ujian yang berat.
"Sepanjang dalam arena hiburan, ini adalah fasa gelap dan berat saya sedang lalui. Selepas berpisah saya tak boleh terima hakikat.
"Saya rasa semakin jauh dan situasi saya jadi lebih teruk tambah pula berkawan dengan kawan yang salah.
"Saya jadi serabut dan bukan jadi diri sendiri. Pendek kata tak terurus dan buat apa sahaja jadi tak kena.
"Yang boleh bantu saya sekarang ALLAH sahaja, cuma jalan sebagai hamba yang betul sahaja kena betulkan untuk mendapatkan pertolongan-NYA.
"Apabila sudah berbaik dengan keluarga perlahan-lahan ALLAH berikan saya ketenangan itu. Yang mana saya tak jaga sebelum ini saya perbaiki," akuinya.
Terdahulu Aliff juga meluahkan betapa dia amat merindu anaknya dan kali terakhir berjumpa sekitar sebulan lalu.
"Tapi saya selalu video call dengan Ayden dan saya akan praktikan hari-hari supaya dia dapat tengok daddy dia," jelasnya.
Selain itu, selepas sesi tersebut difahamkan oleh Ustaz Ebit, Aliff kini sudah mula memperbaiki dirinya.
"Syukur dengar beliau kini sangat jaga solat. Mula hafal al-Quran," coret Ustaz di Instagram miliknya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!