Pusat Informasi padi dilancarkan, bakal manfaatkan petani Tambatoun
SABAH - Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Sim Tze Tzin semalam, melancarkan pusat Informasi Padi di Kampung Tambatuon Kota Belud, bertujuan bagi menjalankan pelbagai program yang berorientasikan penyaluran maklumat.
Tze Tzin berkata, pusat Informasi padi nanti turut akan dapat membantu golongan petani dalam memacu pemindahan teknologi setempat sekaligus dapat memaksimalkan pembangunan ekonomi petani.
"Golongan petani di kampung ini bakal mendapat manfaat selari dengan arus pembangunan pertanian ketika ini," katanya ketika melancarkan pusat berkenaan di sini semalam.
Mengulas lanjut, Tze Tzin berkata menerusi Rancangan Malaysia Ke-11(RMK-11), kerajaan komited dalam memastikan pembangunan pertanian negara yang mampan.
Katanya, demi merealisasikan hasrat tersebut, agensi Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kota Belud akan melaksanakan dua program utama iaitu pengeluaran padi lestari berkonsepkan kejuruteraan ekologi dan pembangunan pusat pemindahan teknologi setempat.
"Fokus utama kedua-dua program tersebut adalah meningkatkan hasil pengeluaran padi melalui kerja-kerja perataan tanah sawah, menaiktaraf kemudahan infrastruktur sawah serta aktiviti pengembangan di lapangan bagi pemindahan teknologi yang menyeluruh kepada golongan sasar," katanya.
Tambahnya, melalui program mekanisasi dan automasi agro makanan, IADA telah menyediakan kemudahan peralatan dan kelengkapan pertanian.
Katanya, ini termasuklah penyembur galas bermotor sebanyak 36 unit, pam penyembur berketepatan tinggi 36 unit, mesin pemotong rumput lima unit, traktor pembajak tiga buah, mini jentera power tiller 12 buah, sebuah box leveller dan sebuah mini jentuai.
"Justeru itu, dalam RMK-11 akan menyaksikan pembangunan pertanian yang mampan menerusi pembinaan infrastruktur sistem pengairan dan saliran di kawasan jelapang padi Kota Belud ini.
"Sebanyak 11 pakej projek dengan nilai keseluruhan RM346.1 juta yang akan dilaksanakan oleh Bahagian Pengairan dan Saliran Pertanian (BPSP MOA) dijangka akan dibangunkan sehingga 2020," katanya.
Jelasnya, besar harapan kerajaan agar IADA Kota Belud dapat merealisasikan hasrat kerajaan bagi meningkatkan taraf hidup rakyat di daerah berkenaan, apatah lagi sumber pencarian rezeki penduduk di daerah ini adalah dengan bersawah yang merupakan penyumbang utama kepada industri padi di negeri Sabah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!